Ahad, 27 Februari 2011

Berkelah di Sungai Skudai

Assalamuailaikum

Kami ditugaskan untuk mengenalpasti kualiti air di Sungai Skudai. Tugasan ini berada dalam kursus Kimia Alam Sekitar. Tujuannya, setelah mempelajari semua parameter untuk mengukur kualiti sungai, kami mengaplikasikannya. Kumpulan kami terdiri daripada 5 orang.

Untuk pengetahuan semua, Sg Skudai merupakan sungai utama di daerah Johor Bahru. Sungai ini panjangnya kira-kira 40km bermula dari Sedenak merentasi Kelapa Sawit, Kulaijaya, Senai, Skudai, Taman Perling sehingga ke muara sungai berdekatan dengan Teluk Danga. Pembangunan di sekitar Johor Bahru semakin pesat menyebabkan Sg. Skudai menjadi semakin tercemar.


Peta Johor Bahru, Johor.

Kami diberi tugasan berkumpulan untuk mengambil sampel air sungai untuk dianalisis dalam makmal. Kumpulan kami boleh dibentuk dengan syarat 1Malaysia iaitu ahli kumpulan mestilah ada bangsa Melayu dan Cina. Kami diberi 2 stesen untuk mengambil sampel air. Stesen tersebut ialah stesen 2 yang terletak berdekatan dengan ESSO dan stesen 4 di Pengkalan Rinting, berhampiran dengan Plaza Angsana. Ada kumpulan lain mendapat stesen 1 di Public Utility Board (PUB) dan stesen 3 di Taman Perling.

Di stesen 2, kami bertungkus lumus mencari Sungai Skudai. Kami terpaksa bertanya lokasi yang sesuai untuk menghampiri Sungai Skudai. Di Sg Skudai, kami bertemu dengan penduduk Kampung Laut, Skudai. Sambil kami mengambil sampel air, kami berbual dengan penduduk di sana yang berbangsa India. Tema 1Malaysia tercapai dengan adanya kaum Melayu, Cina dan India. Di sana, kami mendengar permasalahan penduduk kampung apabila rumahnya selalu ditenggelami air. Puncanya pembangungan yang tidak terancang sekitar Sg Skudai. Sejurus kami mengambil sampel sungai, kami mengukur bacaan DO (dissolve oxygen, keterlarutan oxygen). Kami menambah asid sulfurik pekat dan meletak sampel dalam ais. Tujuan meletak dalam air sejuk supaya dapat merencatkan aktiviti bakteria, sekaligus mengurangkan penggunaan oksigen oleh bakteria dalam sampel air.


Sungai Skudai di belakang

Mengambil sampel air Sungai Skudai

Pengukuran oksigen terlarut


Selain itu, kami juga ke Pengkalan Rinting. Ia berdekatan dengan Plaza Angsana. Kalau ingin ke Pengkalan Rinting dari arah Skudai, pertama sekali ambil jalan ke Plaza Angsana, kemudian belok ke kanan. Di Pengkalan Rinting, sungainya lagi tercemar kerana segala kumbahan dari Sungai Skudai dan Sungai Melana bercampur sebelum sampai ke Teluk Danga.


Tekun mengambil data di tengah terik matahari

Setelah selesai mengambil sampel air, kami ditugaskan untuk menganilisis sampel air di dalam makmal. Kami menganilisis kandungan ammonia dalam sungai, berat keladak, BOD (biochemical oxygen demand), COD (chemical oxygen demand), dan pH.

Walaupun kami penat, kami berasa seronok melakukan kerja-kerja yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental. Kami juga terpaksa berendam lumpur semata-mata untuk mengambil sampel Sungai Skudai. Sebagai pesanan, jagalah kebersihan sungai kita, kerana sungai ini merupakan anugerah daripada Allah. Janganlah kita bersikap tamak sehingga boleh menggugat alam sekitar.

Teringat dalam pengajaran dalam Kimia Alam Sekitar pada awal semester ini, “segala-galanya mesti ke mana-mana”. Tiada istilah “bahan buangan” ataupun “sisa” dalam alam semulajadi ini dan tiada istilah “pergi jauh” kepada bahan yang kita buang. Sebagai contoh, kita membuat eksperimen, kita membuang bahan yang mengandungi logam berat ke dalam singki. Singki kemudian mengalir ke dalam parit dan kemudian mengalir ke dalam sungai. Tiba di sungai, bahan tersebut dibawa ke muara dan ke laut. Bahan itulah dimakan oleh plankton kemudian dimakan oleh ikan. Ikan pula kita makan dan bahan tersebut berada dalam badan kita.



Setakat itu sahaja.

(Gambar akan dimuat naik kemudian)

Jumaat, 4 Februari 2011

Hasil kerja saya sudah ditemui....

Assalamualaikum.

Alhamdulillah kerana hasil kerja saya sudah ditemui sekali gus terselamat daripada mangsa format PC lama saya. Marilah kita sama-sama menonton tayangan hasil kerja saya.




Video ini dikeluarkan pada tahun 2006. Antara software yang saya gunakan untuk menghasilkan video ini ialah:
  • Adobe Photoshop - Mengaplikasikan blend effect (tulisan nampak 3D)
  • SwishMax - Menghasilkan animasi
  • Macromedia Fireworks - Melukis pelan sekolah
  • Macromedia Flash - Menghasilkan animasi atas pelan sekolah
  • Sony Vegas - Menggabungkan beberapa media seperti gambar, suara dan animasi membentuk sebuah video.

Video ini mengisahkan sebuah robot fiksyen yang dicipta oleh saya untuk mengambil gambar pemandangan di sekeliling sekolah. Bahasa dalam video ini ialah bahasa Inggeris. Agak tunggang-langgang grammar kerana ketika itu saya masih belajar bahasa Inggeris dengan betul semasa saya tingkatan 4.

Saya sepatutnya memuat naik video 5 tahun lepas tetapi disebabkan ketika itu, saya agak buta YouTube. Video ini diterbitkan atas memenuhi masa lapang saya sambil mempelajari menyunting video pada ketika itu.


Peta sekolah dalam video

Sekian.

Khamis, 3 Februari 2011

Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka (KEMM 1511)

Setelah sekian lama saya tidak menulis blog ini, entri ini sepatutnya ditulis awal selepas konvensyen berlangsung. Tidak mengapa, yang penting saya dapat menulis entri.

KEMM 1511 berlangsung pada 29 Januari 2011 bertempat di Dewan Besar UTeM, Durian Tunggal, Melaka. Konvensyen ini diajurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA Malaysia) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) disertai oleh 3600 peserta. Konvensyen ini bertemakan "Melayu Sepakat, Islam Berdaulat". Perjalanan dari UTM Johor Bahru ke UTeM Melaka mengambil masa 3 jam pada jarak relatifnya, itupun kalau saya memandu selaju 90 km/j. Kami hanya menginap di Masjid UTeM bersama-sama rakan-rakan saya dan sukarelawan yang menguruskan KEMM 1511.

Konvensyen ini banyak membincangkan membincangkan mengenai jati diri masyarakat Melayu yang pada ketika dahulu, kita pernah mencapainya sehingga mendapat pengiktirafan dunia. Kita pernah mencapai zaman kegemilangan semasa zaman kegemilangan kerajaan Kesultanan Melayu Islam Melaka. Pada ketika itu, syariat Islam berjaya ditegakkan. Buktinya, Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka diambil 100% daripada al-Quran dan as-Sunnah. Para sarjana Barat pernah menyatakan "siapa menguasai Melaka, maka dia menguasai Venice". Kegemilangan Melaka tidak kekal bertahan lama akibat kerakusan kuasa Barat yang inginkan kekayaan. Rentetan daripada peristiwa kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka, ia menjadi cabaran kepada jati diri Masyarakat Melayu.

Alhamdulillah, jati diri Melayu Islam tidak digugat sehingga kita mendapat 2 nikmat terbesar iaitu nikmat Islam dan iman. Pada masa kini, pada zahirnya kita merdeka tetapi kita sudah dijajah minda selama 500 tahun lagi. Jati diri Melayu pada masa ini tergugat. Bangsa kita juara dalam menagih dadah, merempit, berzina dan buang bayi. Jika jati diri Melayu tergugat, kemungkinan Islam tidak dapat disebarkan.

Diharap konvensyen dapat menyedarkan kita betapa pentingnya kita memperkasakan Melayu supaya syariat dapat ditegakkan sebagaimana yang telah berlaku pada zaman kegemilangan Melaka.



Marilah sama-sama kita menghayati pidato yang disampaikan oleh saudara Badrul Sani. Semoga ia menyedarkan kita.



"Melayu Sepakat, Islam Berdaulat"