Jumaat, 2 Mac 2012

Seminggu di Indonesia

Assalamualaikum.

Tanggal 18hb Februari 2012, kami diterbangkan ke Semarang, Indonesia. Perjalanan mengambil masa 2 jam. Jika di Malaysia, waktu digunakan ialah GMT +8 manakala di Indonesia Barat menggunakan GMT +7 (lebih dikenali sebagai Waktu Indonesia Barat, WIB).

Setibanya di Semarang, kami disambut oleh pihak Institut Keguruan dan Ilmu Pendidikan (IKIP) Semarang. Walaupun kami disambut dengan sangat istimewa, tetapi kami agak berpakaian selekeh kerana tiada kesempatan untuk mempersiapkan diri sepanjang perjalanan dari Johor ke LCCT KLIA, seterusnya ke Semarang.

Di Semarang, taklimat diadakan di Kampus II IKIP PGRI Semarang. Upacara penyerahan guru pelatih dijalankan di Semarang. Setelah taklimat dijalankan, kami pusing-pusing ke Semarang melihat bandar Semarang. Kami bergambar di Tugu Pemuda. Setelah ke Tugu Pemuda, kami singgah solat Maghrib dan Isyak di Masjid Agung Jawa Tengah.

Masjid Agung Jawa Tengah

Keesokan hari (19hb Februari), kami berangkat ke Jogjakarta. Dalam perjalanan ke Kota Jogjakarta, kami singgah di Candi Borobudur. Candi Borobudur merupakan monumen yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Candi ini dibina pada abad ke-9.

Setibanya di Jogjakarta, kami disambut oleh pihak Universitas Negeri Yogyakarta (UNY). Pada 20hb, diadakan taklimat di Reaktorat UNY. Dalam taklimat tersebut, kami ditempatkan di Sekolah Menengah Atas Negeri 8 Yogyakarta (SMA Negeri 8 Yogyakarta). SMA Negeri 8 merupakan sebuah sekolah yang bertaraf internasional.

Guru Pelatih di SMA 8 Yogyakarta

Pada 23 Februari, SMA Negeri 8 menganjurkan Praktek Kerja Lapangan di Pantai Sundak. Tujuannya adalah untuk mempraktiskan kimia, fizik dan biologi di luar sekolah. Kami mengikuti dengan menaiki Bas Pariwisata (Bas Persiaran). Perjalanannya dalam 60 km dan mengambil masa selama 2 jam. Di Pantai Sundak, permandangan sungguh indah kerana lautnya sungguh jernih. Pantainya menghadap Samudra Hindia. Walaupun pantainya indah, kami ditegah bermandi-manda kerana gelombangnya agak ganas.

Keindahan Pantai Sundak
Setakat itu sahaja pos kali ini.

Rabu, 15 Februari 2012

Road to Yogyakarta

Assalamualaikum.

Latihan Mengajar (LM) merupakan salah satu subjek yang wajib diambil oleh bakal guru. LM dijadikan sebagai batu lonjatan untuk mendapat keyakinan untuk mengajar di sekolah nanti. Untuk menjalani LM, mahasiswa UTM hanya mengajar di sekolah di Johor sahaja. Walau bagaimanapun, negeri lain boleh dipilih sebagai lokasi untuk mengajar tetapi dengan mengemukakan pelbagai kes.

LM kali ini agak berlainan pada LM yang lepas-lepas kerana dijalankan di semester 2 disebabkan oleh perubahan seisi pembelajaran. Disebabkan oleh UTM terkenal di peringkat antarabangsa, maka LM di Indonesia diadakan. Pada awalnya, pihak pengurusan LM membuka 3 tempat di Indonesia iaitu di Semarang, Yogyakarta dan Makassar. Kemudian, ia dikurangkan menjadi 2 tempat iaitu di Yogyakarta dan Semarang sahaja.

Menyertai LM ke Indonesia dapat menambahkan pengalaman mengajar di sana di samping dapat mengetahui sistem pendidikan di sana yang berbeza dengan di Malaysia. Inilah rezeki untuk ke luar negara saya yang tidak pernah terfikir sebelum ini. Sebelum ini, saya pernah ke Singapura dan Beijing, China.

Lokasi Semarang dan Yogyakarta di Jawa (Sila klik utk besarkan gambar)

Hati saya agak berdebar kerana persediaan ke Indonesia masih dalam keadaan yang tidak sempurna. Pada 16hb Februari, taklimat mengenai LM ke Indonesia akan diadakan. Insya Allah saya akan berangkat ke Indonesia pada 18hb Februari ini. Doakan saya selamat tiba di sana.

 

Diharap perkara yang tidak diingini dapat dielakkan di sana nanti. Saya akan mengemaskini blog di sana jika tiada aral yang melintang.

Selasa, 24 Januari 2012

Bedah Buku: Armageddon 2012

Assalamualaikum.

Ini merupakan entri pertama pada tahun 2012 setelah sekian lama saya tidak mengemaskini blog saya. Topik yang saya bawakan merupakan muqadimah blog saya pada tahun 2012. Entri kali ini saya akan membuat pembedahan buku yang bertajuk Armageddon 2012, yang ditulis oleh Muhammad Alexander dan diterbitkan oleh PTS. Buku ini sangat menarik untuk dibaca.



Pada tahun 2009, dunia disajikan dengan filem Hollywood yang telah menghantui minda penduduk dunia. Bahkan filem ini dapat menggugat akidah umat Islam dengan tarikh kiamat pada yang jatuh pada 21 Disember 2012. Walau bagaimanapun, sebagai orang Islam, kita tidak boleh mempercayai tarikh kiamat kerana ia adalah perkara ghaib. Hanya Allah sahaja yang tahu mengenai tarikh kiamat. Banyak ramalan-ramalan tarikh kiamat telah dibuat sebelum ini tapi ia tidak pernah berlaku. Malah ia dijadikan bahan jenaka kerana mencari tarikh kiamat adalah mengarut dan khurafat. Walau bagaimanapun, janji Allah akan pasti berlaku.

Buku ini menjelaskan kronologi-kronologi tanda-tanda besar kiamat sehingga terjadi tertiupnya sangkakala yang ke-2. Buku ini juga menerangkan tanda-tanda besar kiamat dan hari terjadi kiamat dari sudut pandang agama dan sains kerana sains dan agama tidak boleh dipisahkan. Walau bagaimanapun, sains tidak dapat menerangkan kiamat selepas sangkakala yang ke-2 kerana ia berada peristiwa itu hanya berlaku di alam ghaib.

Buku ini juga menceritakan nasib makhluk apabila berada di padang mahsyar dan menerima balasan syurga dan neraka nanti. Buku ini dapat meningkatkan keimanan pembaca apabila menceritakan bahagian di akhirat.

Terdapat buku lain yang menceritakan tentang 2012. Ada yang menerangkan konspirasi pihak yahudi untuk membentuk world order suatu hari nanti.

Maka solusi penting dalam isu ini ialah:
  • Keimanan kepada kedatangan hari kiamat adalah fardu, dan termasuk dalam rukun iman
  • Tidak perlu bersusah payah mencari tarikh kiamat.
  • Apa yang penting, amalan soleh setiap insan bertambag.
Wallahu a'lam.