Selasa, 29 Oktober 2013

Kumpulan 1 - Logam Beralkali

Assalamualaikum dan salah sejahtera.

Kali ini saya ingin berkongsi sebuah video mengenai Kumpulan 1 - Logam Beralkali. Logam beralkali jika menuruni kumpulan mempunyai litium, natrium, kalium, rubidium dan caesium.

Jadual Berkala. Kumpulan yang berwarna merah merupakan kumpulan logam beralkali


Video 1

 

Saya percaya, video di atas ramai ditayang oleh guru-guru kimia kepada murid-murid. Hal ini demikian kerana, kalau dicari dalam YouTube, video seperti ini awal-awal lagi sudah dicadangkan oleh YouTube dan mempunyai  banyak viewer.

Elemen Pengajaran

Video ini menunjukkan sifat-sifat kereaktifan Kumpulan 1 (Kumpulan Logam Beralkali) dengan menggunakan kaedah demonstrasi. Dalam video ini mengisahkan bahawa, dalam Kumpulan 1, semakin menuruni kumpulan dalam jadual berkala, semakin reaktif bahan tersebut.

Dalam sistem sekolah kita, hanya pihak sekolah menyediakan logam litium, natrium dan kalium untuk menjalankan uji kaji tentang kereaktifan kumpulan 1. Sedangkan dalam video ini menunjukkan, kesemua uji  kaji terhadap logam tersebut ini sungguh membosankan. Akhirnya, dalam video ini menjalankan uji kaji kereaktifan rubidium terhadap air dalam tab mandi. Jadi, letupan kuat terhasil berbanding dengan ketiga-tiga logam tersebut dan memecahkan tab mandi.

Seterusnya, mereka meneruskan lagi uji kaji dengan menggunakan caesium untuk bertindak balas dengan air. Akhirnya caesium menghasilkan letupan sangat kuat dan menghancurkan tab mandi.

Kelebihan video:
  1. Menunjukkan kereaktifan logam-logam rubidium dan caesium secara nyata. Kedua-dua logam ini tidak disediakan di sekolah kerana sangat mahal dan merbahaya.
  2. Pengacara menunjukkan gaya yang penuh minat tehadap eksperimen.
  3. Intonasi pengacara menggalakkan penonton tertanya-tanya apa akan terjadi jika logam tersebut bertindak balas.
  4. Penyampaian video lebih berdramatik. Tidak hairanlah video ini banyak ditayangkan oleh cikgu-cikgu Kimia di sekolah.
Kelemahan video:
  1. Saiz rubidium dan caesium yang dilempar ke dalam air lebih besar berbanding dengan logam litium, natrium dan kalium yang dikatakan kurang menghasilkan letupan dan hanya berlegar-legar di permukaan air. Pada zaman sekolah, saya dan rakan sekelas pernah melempar natrium sebesar ibu jari dalam kolam ikan kemudian menghasilkan letupan juga.
  2. Video ini pernah dipertikaikan fakta kerana menghasilkan letupan diluar logik akal bagi mana-mana saintis. Ada yang membuktikan bahawa terdapat bahan letupan lain selain logam beralkali. Walaupun fakta dipertikaikan, namun dari segi konsep kereaktifan tetap benar jika menuruni kumpulan.
  3. Apa yang menjadi tanda tanya, kalau rubidium dan caesium dicampak dalam tab mandi, kenapa mengambil sedikit masa untuk meletup. Kalau saya melempar litium, natrium, dan kalium, secara on the spot bahan tersebut bertindak balas dan menghasilkan api.
  4. Cara wanita berpakaian yang tidak bersesuaian dengan budaya kita.
Untuk maklumat lanjut, sila tanya pakar kimia.

Video 2

Sebagai alternatif, video ini sesuai untuk dijadikan bahan bantu mengajar.

Elemen Pengajaran:

Dalam video tersebut, mereka menguji kaji bukan dari segi tindak balas dengan air sahaja tetapi menguji tindak balas dengan oksigen juga dengan membiarkan logam tersebut terdedah. Semakin menuruni kumpulan dalam jadual berkala, semakin cepat logam menjadi logam oksida.

Kelebihan video:
  1. Menunjukkan tindak balas dengan air dan tindak balas dengan oksigen.
  2. Penerangan konsep kereaktifan logam beralkali dengan lebih tepat dan padat.
Kelemahan video:
  1. Mempunyai gangguan audio seperti noise.
  2. Resolusi video sangat kecil.
Sebagai kesimpulan, guru perlu berhati-hati menayangkan video untuk mengajar agar tidak tersalah fakta. Jika tersalah fakta, kemungkinan besar murid-murid akan mengikuti apa yang telah guru ajar. Seperti pepatah Melayu "bapa kecing berdiri anak kencing berlari". Adakah kita ingin melahirkan saintis dengan ilmu yang palsu?

Sekian, terima kasih.

Ahad, 15 September 2013

Seminggu Sebagai Mahasiswa Master

Assalamualaikum.

Tanggal 28 Ogos 2013, saya sudah mendaftarkan diri sebagai mahasiswa pasca ijazah. Saya mengambil Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan). Kenapa saya mendaftar sebagai pelajar master? Pada saya, ia merupakan antara perancangan saya sewaktu tahun satu sewaktu degree. Ini disebabkan oleh pada waktu itu, saya sangat tidak meminati Pendidikan Kimia. Sekarang saya masih menunggu penempatan guru yang belum pasti tarikhnya. Selain itu, memang saya sejak dari dahulu meminati belajar walaupun pointer sewaktu degree tidaklah sehebat sangat. Tidak hairan banyak orang gelarkan saya sebagai “Wikipedia Bergerak”, “Google Search Bergerak” dan “GPS Hidup”. Maaf, ilmu saya tidaklah setinggi mana pun.

Sebelum Daftar
Sesudah tiba di bumi UTM pada 23 Ogos 2013, saya menginap di Kolej Tun Razak (KTR). Tempoh menginap saya sehingga 25 Ogos kerana memberi laluan kepada pihak kolej membersihkan kawasan kolej sebelum pelajar tahun satu. Akibatnya, saya terpaksa hidup merempat ke mana-mana dan barang-barang saya penuh di dalam kereta saya.

Pendaftaran Master
Sewaktu pendaftaran pada 28 Ogos, hati saya sangat gemuruh sama ada saya dapat mendaftar master ataupun tidak. Hal ini demikian kerana, saya tidak dapat menyediakan jumlah yuran penuh sebelum pendaftaran. Sebelum ini, saya pernah dimaklumkan bahawa untuk mendaftar master, saya perlu menjelaskan yuran penuh. Dengan sokongan Timbalan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), akhirnya saya dapat mendaftarkan diri ke program master. Setelah mendaftar diri, saya tidak merempat lagi disebabkan oleh saya mendapat bilik di Kolej 9-10.

Seminggu Kuliah
Tempoh antara pendaftaran master dan waktu mula kuliah selama 11 hari. Semester ini menjadikan antara semester yang paling banyak jam kredit kerana saya mendaftar sebanyak 20 jam kredit. Bagaimana mahu hidup dengan jam kredit yang banyak? Sistem pembelajaran master sangat berbeza dengan sistem pembelajaran sewaktu degree dulu. Pembelajaran master sangat mementingkan mengeluarkan pendapat. Bagi saya, ia suatu cabaran kerana sebelum ini ilmu asyik disuap. Kelas kebanyakan diadakan pada waktu petang kerana kebanyakan daripada mahasiswa master dari Fakulti Pendidikan adalah dari golongan yang bekerja. Kami yang ‘muda-mudi’* antara golongan minoriti dalam kelas. Diharap saya dapat tunjuk ajar daripada abang-abang dan kakak-kakak tentang pengalaman hidup.

Golongan "muda-mudi" dalam kelas Kaedah Penyelidikan
(Kredit kepada Nurfatin Atiqah)

Sekian.

*Perkataan 'muda-muda' tidak sesuai. Sepatutnya guna perkataan fresh graduate walaupun belum grad lagi.

Isnin, 28 Januari 2013

Blog saya berhabuk

Assalamualaikum

Ini merupakan entri permulaan untuk blog ini pada tahun 2013.Sudah lama saya tidak menjenguk blog ini apatah lagi untuk mengemaskini blog ini. Banyak asam garam yang saya lalui semasa tahun 2012 yang sepatutnya saya coretkan dalam blog ini. Antara yang signifikan ialah Latihan Mengajar di Indonesia dan di Malaysia. Maaf, benda sudah lama berlalu, dan saya akan menceritakan pengalaman saya di Indonesia.

Blog saya sudah banyak habuknya dan perlu dikemas agar blog ini menjadi lebih kemas. Nampaknya saya perlu banyak menulis blog dengan laras bahasa yang betul serta menarik seperti karangan Bahasa Melayu yang mencapai kriteria cemerlang. Pada tahun ini, saya berazam saya akan menjadi lebih BERANI menceritakan pengalaman yang berlaku dari semasa ke semasa. Selain itu, saya juga mempelajari gaya penulisan agar tidak terlalu formal sehingga membosankan dan tidak terlalu fancy sehingga menjadikan pembaca menjadi meluat.

Setakat itu sahaja entri kali ini.