Isnin, 17 Februari 2014

Dari Pandangan Lensa: #2 - Nikon vs Canon

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hidup ini adalah pilihan. Ada yang memilih untuk kerjaya, tempat pengajian, peluang pekerjaan dan memilih calon isteri/suami. Setiap pilihan ada natijahnya tersendiri sama ada pilihan ini mempunyai kesan positif atau negatif. Jika kita tengah pening memikirkan pilihan, formulanya mudah, istikarah sahaja. Ingin melaksanakan atau tidak itupun pilihan juga.

Dalam entri ini, saya bukan ingin menjadi pakar motivasi yang selalu terpampang di depan plastik TV LCD (ganti dengan kaca TV). Tetapi saya ingin berkongsi mengenai pilihan untuk memilih tipu daya dunia iaitu kamera DSLR dari syarikat yang terkenal dengan penghasilan kamera.

Kereta

Sebelum saya membincangkan mengenai kamera, saya buat perumpumaan dengan memilih kereta. Kita bandingkan antara kereta Toyota Camry dengan Honda Civic. Siapa menang? Kita lihat spesifikasi di bawah.

Perbandingan antara Toyota Camry dan Honda Civic
Kita tengok spesifikasi pun sudah tentu menang Toyota Camry. Harganya mahal, spek yang tip-top. Mana aci! Apa kata kita bandingkan dengan spesifikasi yang lebih kurang. Saya bandingkan antara Honda Accord dengan Toyota Camry.

Perbandingan antara Toyota Camry dan Honda Accord
 Jika lihat spesifikasi antara Toyota Camry dan Honda Accord, spesikasi lebih kurang sama. Jika membuka forum dalam Internet perbincangan mengenai automobil, ada antara mereka yang penggemar kereta suka membandingkan kereta mana bagus. Spesifikasi lebih kurang sama sahaja. Setiap pengeluar kereta mempunyai pro dan kontranya tersendiri.

Maklumat Lanjut Sila Rujuk di sini

Nikon vs Canon? Siapa Menang?

Entah, siapa yang menang. Saya tidak boleh membuat penilaian awal sebab tidak melihat profil pengeluar kamera, sejarah dan kameranya.
 Kita lihat profil syarikat pengeluar kamera. Kedua-dua syarikat ini berasal dari Jepun. Canon ditubuhkan pada tahun 1937 manakala Nikon ditubuhkan pada tahun 1917. Pada awal penubuhan kedua-dua syarikat, syarikat tersebut membuat kaca optik. Sejarah kedua-dua syarikat untuk menghasilkan kamera sangat panjang. Setakat ini, antara syarikat pengeluar kamera DSLR yang terkenal ialah Canon dan Nikon. Kalau pergi ke majlis kenduri, kamera yang saya selalu nampak ialah kamera DSLR berjenama Canon dan Nikon. Jarang nampak orang pakai Sony.

Sejarah perkembangan teknologi kamera Canon dan Nikon

Jadi siapa yang menang? Nikon atau Canon?

Tunggu dulu, ini baru cerita mengenai profil syarikat pengeluar kamera, belum lagi bandingkan kelebihan kamera. Saya membandingkan antara dua kamera yang sama spesikasi iaitu Canon EOS 7D dan Nikon D300S. Saya tidak boleh membandingkan antara kamera DSLR Canon dengan kamera digital berjenama Nikon. Tidak usah bertanya siapa yang menang. Saya bandingkan kedua-dua kamera ini kerana spesifikasinya lebih kurang sama. Kita lihat perbezaan kamera tersebut.



Saya membuat perbandingan antara dua kamera yang spesifikasinya lebih kurang sama. Yang saya tick hijau merupakan ciri-ciri kamera yang dapat mengatasi dari segi kelebihan spesikasi antara satu sama lain. Harga minimum untuk kamera berdasarkan sumber yang diperolehi untuk kamera DSLR Canon EOS 7D dan Nikon D300S masing-masing mencecah RM 4 300 dan RM 4 700. Kalau aku kaya, dan diberi pilihan membeli dua kamera tersebut, saya lebih gemar kepada kamera DSLR Nikon D300S kerana ciri utama banyak lens boleh digunakan untuk kamera jenis ini. Lagipun, saya sudah terbiasa menggunakan fungsi-fungsi dalam kamera Nikon. Jika saya diberi kamera Canon, ia akan memakan masa untuk saya pelajari. Anda bagaimana?

Maklumat Lanjut Sila ke laman ini.

Bertarung di Laman Forum

Jika dilihat di laman forum, mereka bertempur sesama sendiri di medan forum dengan bersenjatakan sepapan papan kekunci dan berpelurukan idea-idea. Mereka berjuang bermati-matian di pertempuran sehingga mati... Mati akal. Sungguh malang sekali apabila ia memecah belahkan manusia sejagat kerana mempertahankan kecanggihan kamera DSLR masing-masing dan menghentam kedaifan kamera DSLR di pihak lawan.

Oleh itu, jika mahu menjadi pahlawan di medan forum, pastikan anda menjaga tatasusila sebagai pejuang dalam forum. Jangan menjadi hamba kepada kamera DSLR sehingga boleh mengabaikan tanggungjawab terhadap umat. Kita kena tahu bahawa setiap ciptaan manusia ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Oleh itu, kita terima sebagai variasi dalam kehidupan. Sudahla politik sudah memecah belahkan umat, bola pun sama. Saya harap jangan ada sesuatu material yang tidak kekal pun dijadikan sebagai bahan untuk memecahbelahkan umat.

Setakat itu sahaja entri kali ini.

Sekian.

Post ini dihantar untuk refleksi kursus MPT1483 - Penerbitan Teknologi Visual Statik

Rujukan:
  1. http://snapsort.com/compare/Canon_EOS_7D-vs-Nikon_D300S
  2. http://snapsort.com/compare/Canon_EOS_7D-vs-Nikon_D300S/specs
  3. http://www.cars.com/go/compare/trimCompare.jsp?acodes=USC40TOC021H0,USC40HOC011A0&compType=E
  4. http://www.cars.com/go/compare/trimCompare.jsp?acodes=USC40TOC021H0,USC40HOC021A0 
  5. http://www.thisweekinphoto.com/2012/the-history-of-the-nikon-vs-canon-battle-infographic/

Jumaat, 14 Februari 2014

Dari Pandangan Lensa: #1 - Kamera yang Saya Ada Sekarang

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya akan memperkenalkan barang duniawi yang saya ada iaitu kamera. Kamera apa yang saya ada? Mari kita lihat kamera-kamera tersebut.

Sony Cybershot DSC-W180

Kamera ini dibeli pada tahun Januari 2010 di Kota Bharu, Kelantan. Pada ketika itu, harga kamera digital tersebut berharga RM600. Tujuan membeli kamera untuk menangkap gambar ketika melakukan aktiviti di UTM (Universiti Teknologi Malaysia). Kamera ini sangat berjasa kepada saya kerana telah merakam saat-saat indah di luar negara seperti Beijing dan Jogjakarta. Pada ketika itu, saya hanya mempunyai kamera di telefon genggam Nokia 5300 dan Sony Ericsson W200. Namun, kamera tersebut mempunyai kualiti gambar yang sangat rendah.
Kamera Digital Sony Cybershot DSC-W180. Ditangkap dengan menggunakan Samsung Galaxy Ace Plus
Saya akan menerangkan spesifikasi ringkas mengenai kamera digital saya:
  • 10.1 MP
  • Kanta 3x zum
  • Paparan LCD 2.7 inci
  • Pengesan muka dan senyuman
  • Paparan Histogram
  • Bateri Lithium-ion
Untuk maklumat lanjut mengenai spesifikasi kamera, sila klik di sini.
Pada saya, kamera ini sangat berbaloi kepada saya dalam fotografi walaupun kualiti tidak sehebat kamera DSLR. Untuk hasil yang terbaik, gambar-gambar tersebut perlu ditangkap pada waktu siang atau lebih senang cerita pada waktu tengah hari. Bagi photographer, menangkap gambar pada waktu tengah hari panas memberi hasil terbaik walaupun terpaksa mendedahkan diri kepada bahangnya panas mentari.
Gambar yang ditangkap dengan menggunakan Kamera Digital Sony Cybershot DSC-W180
Samsung Galaxy Ace Plus GT-S7500

Telefon pintar ini merupakan telefon pintar dengan sistem operasi Android yang pertama saya miliki. Telefon ini dibeli pada 15 November 2012 di Kota Bharu, Kelantan. Tujuan telefon ini dibeli ialah kerana ingin memenuhi kehendak saya untuk memiliki telefon pintar dengan sistem operasi Android. Walaupun tujuan agak negatif, namun telefon ini banyak kegunaan seperti membaca emel, bermain permainan, membaca al-Quran dan sebagainya. Yang penting saya dapat menggunakan Android kerana Android banyak menyediakan aplikasi-aplikasi. Sehingga sekarang saya masih menggunakan telefon pintar tersebut walaupun spesikasi sangat rendah. Walau bagaimanapun, saya masih memerlukan telefon ini kerana saya ingin membangunkan aplikasi-aplikasi yang compatible dengan telefon saya. Hal ini akan membolehkan aplikasi yang saya cipta dapat digunakan pada telefon yang mempunyai pelbagai spesifikasi.

Samsung Galaxy Ace Plus (ditangkap dengan menggunakan Sony Cybershot DSC-W180)

Antara spesikasi ringkas:
  •  Beratnya ialah 114g
  • Kapasiti bateri: 1300mAh
  • Paparan TFT dengan resolusi 480 X 320. Saiz paparan ialah 3.65 inci
  • Android 2.3.6 (Gingerbread)

Saya tidak membincangkan mengenai ciri-ciri telefon ini, tetapi saya akan menerangkan kamera telefon pintar ini. Antara spesifikasi kamera pada telefon ini ialah:
  • Kamera beresolusi 5MP
  • 3X zum digital
  • LED Flash
  • Auto Focus
  • Mod:  Single / Continuous / Panorama / Self-shot / Smile shot
  • Efek:  Black and white / Negative / Normal / Sepia
  • Keseimbangan putih: Auto / Daylight / Incandescent / Fluorescent / Cloudy
  • ISO: Auto/100/200/400
Keadaan Puri Pujangga UKM (ditangkap dengan menggunakan Samsung Galaxy Ace Plus)
Walaupun spesifikasi kamera sangat rendah tetapi dari segi berkongsi gambar sangat mudah kerana dapat menghubungkan dengan Internet melalui wifi atau data, USB,  dan Bluetooth. Jika kualiti gambar sangat buruk, maka saya akan menggunakan Adobe Photoshop untuk menyunting gambar supaya kekurangan kualiti gambar dapat ditutup.

Jika mengikut kehendak saya, saya ingin membeli sebuah kamera DSLR dengan harga murah dan lens tidak terlalu hebat. Yang penting asalkan ada kamera DSLR. Lama-kelamaan, saya akan berusaha membeli lens yang lagi mahal kerana tidak berpuas hati dengan kamera DSLR tersebut. Kemudian saya akan membeli badan kamera yang lagi mahal. Seterusnya.....(entah apa akan jadi)

Begitulah kehendak nafsu yang tidak ada penghujungnya. Kalau ikutkan nafsu saya, kalau boleh saya ingin memiliki segala apa yang ada di dunia bak lirik lagu "Kalau Aku Kaya" nyanyian Awi Rafail dan Altimet. Betul kata ulama, "nafsu melebihi kemampuan". Oleh itu, tundukkan nafsu untuk memiliki sesuatu material dan bersyukur apa yang kita ada sekarang. Saya bukan nak halang diri saya untuk membeli kamera DSLR kerana ia adalah salah satu kecenderungan saya dalam bidang teknologi.

Setakat itu sahaja entri kali ini.

Post ini dihantar untuk refleksi kursus MPT1483 - Penerbitan Teknologi Visual Statik.

Semoga enjoy membaca.