Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pada 22 Februari 2014, satu program yang dijalankan oleh Majlis Profesor Negara (MPN) iaitu Karnival Profesor Turun Padang yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Dato' Ishak di Lumut, Perak. Dalam organisasi Majlis Profesor Negara, terdapat beberapa kluster yang dipecahkan mengikut disiplin masing-masing seperti Kluster Perubatan dan Kesihatan, Kluster Sains dan Matematik, Kluster Pertanian dan Makann, Kluster Industri dan Inovasi, dan sebagainya. Saya berada di bawah Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan. Di bawah kluster ini, MPN memberi kepercayaan kepada pensyarah saya, Dr. Johari Surif dan Dr. Nor Hasniza Ibrahim untuk memperkenalkan konsep inkuiri dalam pembelajaran di dalam kelas dengan mengadakan Bengkel Inkuiri Sains dan Matematik. Untuk menjalankan bengkel ini, beberapa orang fasilitator ditugaskan untuk membantu pensyarah. Antara yang terlibat ialah Nurhasyimah, Fatimah Sarah, Vicki Artika, dan saya sendiri.
Logo Majlis Profesor Negara (MPN) |
Perjalanan Jauh
Perjalanan ke negeri Perak sangat mencabar bagi saya kerana saya belum pernah ada pengalaman memandu kereta ke sana. Cabaran berikutnya adalah membawa penumpang dari kalangan makhluk asing (dalam bahasa Arab bererti ajnabi) kerana masing-masing mempunyai psikologi yang berbeza. Hanya saya seorang sahaja lelaki. Takkan nak bincang pasal bola sepak dengan mereka. Dalam keadaan musafir yang jauh, banyak saya mengenali mereka lebih lanjut. Teringat kata-kata cendekiawan, dengan musafir anda boleh mengetahui perwatakan seseorang. Lagipun, saya sudah lama mengenali mereka sewaktu menjalani Latihan Mengajar di Yogyakarta, Indonesia pada tahun 2012.
Perjalanan dari Skudai ke Lumut sangat jauh dengan jaraknya 600 KM dengan kiraan Google Maps. Namun, bagi saya, perjalanan ini tidak sejauh seperti Johor ke Kelantan. Pensyarah memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin perjalanan kami ke Lumut. Dengan berbekalkan GPS Papago dalam Android saya, saya dapat merancang perjalanan ke Lumut. Pada awalnya, kami mahu keluar dari Lebuhraya PLUS melalui Exit Bidor namun disebabkan hari sudah malam, saya tidak berani melalui Bidor kerana saya tidak mengetahui keadaan Geografi di Selatan Perak. Sebaliknya, saya memilih untuk keluar di Exit Gopeng kerana beranggapan bahawa kami akan melalui kawasan yang ada kemajuan. Dari Gopeng, saya boleh melalui Batu Gajah, Seri Iskandar (UiTM) dan Tronoh (UTP). Mengikut hipotesis, semakin jauh perjalanan, semakin luas pemandangan, tetapi malangnya berjalan pada waktu malam menyebabkan pemandangan terbatas.
Alhamdulillah, kami selamat tiba di tempat penginapan iaitu Virgo Batik Resort yang betul-betul menghadap pantai Teluk Batik.
Perjalanan Pergi ke Lumut (hijau) dan Pulang ke Skudai (merah) |
Inkuiri di Lumut
Pada pagi 22 Februari, kami sudah menjalankan dua aktiviti inkuiri. Aktiviti pertama dijalankan di sebelah pagi dengan membina gasing. Aktiviti seterusnya ialah memasukkan alka-seltzer ke dalam kelosong (sejenis bungkusan gula-gula Smarties). Inkuiri ialah proses mencari dan menyiasat, membina hipotesis, merekabentuk eksperimen, mengumpul data dan membuatkesimpulan untuk menyelesaikan masalah (Shulman,1968/1973). Menurut Henbrank (2000), inkuiri didefinisikan sebagai teknik menyoal dan mencari jawapan kepada sesuatumasalah yang memerlukan kemahiran eksperimen, refleksi dengan mengambil kira kaedah semasa. Tujuan inkuiri dalam sekolah supaya pelajar dapat berfikir dan mencari maklumat sendiri tanpa bergantung kepada guru. Guru hanyalah sebagai seorang fasilitator.
Membina Gasing
Pada sebelah pagi, kami menjalankan proses membimbing guru untuk menjalankan inkuiri dengan membuat gasing. Inkuiri ini terbahagi kepada dua iaitu inkuiri terbimbing dan inkuiri terbuka. Inkuiri terbimbing ialah inkuiri di mana guru membimbing pelajar dalam proses kajian. Aktiviti yang dilakukan dalam inkuiri terbimbing ialah kami memberi bahan-bahan untuk membina gasing. Terdapat banyak panduan-panduan yang diberikan dan guru-guru perlu membina gasing seperti yang digariskan oleh kami.
Seterusnya inkuiri terbuka adalah proses mencari maklumat tanpa bimbingan guru. Segala rumusan adalah dari hasil eksperimen pelajar itu sendiri. Dalam aktiviti ini, guru-guru diberikan pelbagai bahan-bahan yang disediakan untuk membuat gasing. Guru perlu berfikir cara-cara membuat gasing yang boleh berpusing dengan lama.
Alka-Seltzer
Alka-Seltzer adalah ubat untuk melegakan kesakitan. Ia sama seperti Panadol Soluble yang terdapat di pasaran. Untuk menjalankan eksperimen menggunakan inkuiri, kita perlu mengeluarkan soalan yang boleh diukur. Antara soalan-soalan yang dikemukan oleh kumpulan guru yang menyertai bengkel ini ialah:
- Adakah bilangan Alka-Seltzer yang terlarut boleh menolak jauh penutup kelongsong*?
- Antara air, minyak masak, dan pencuci pinggan, mana yang cepat bertindak balas dengan Alka-Seltzer?
- Adakah bilangan Alka-Seltzer mempengaruhi masa tindak balas untuk membuka penutup kelongsong*?
Rupa alka seltzer |
Untuk menjawab persoalan tersebut, guru perlu melakukan eksperimen tersebut mengikut hipotesis dan pembolehubah yang sesuai dengan soalan. Selepas menjalankan penyiasatan, guru diminta untuk membentangkan hasil eksperimen. Pelbagai jawapan yang diberikan oleh guru tersebut sama ada menerima atau menolak hipotesis yang mereka berikan. Dengan cara pendekatan ini, murid-murid boleh diberi Band 6 dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kerana sudah mencapai tahap mithali. Pendekatan ini juga dapat menggalakkan murid-murid berfikir di aras yang tinggi
Diharapkan dengan Bengkel Inkuiri Sains dan Matematik dapat menyuntik semangat saya sebagai guru dengan memperkenalkan pendekatan inkuiri yang dapat menarik minat pelajar terhadap subjek Sains dan Matematik. Bengkel ini juga dapat membantu saya menjawab soalan-soalan temuduga mengenai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Sebenarnya kami berempat. 3 orang depan kamera, seorang lagi belakang kamera |
Masa untuk Menenangkan Fikiran
Di Daerah Manjung merupakan destinasi pelancongan yang popular di Perak. Untuk pengetahuan semua, di Daerah Manjung terdapat Pulau Pangkor dan Teluk Batik. Di Lumut terdapat jeti ke Pulau Pangkor. Selain itu, di Lumut terdapat juga produk-produk makanan laut dijual. Saya berpeluang membeli rumpai laut di bandar Lumut.
Melihat |
Glosari
Kelongsong - pembalut atau pembungkus yg berbentuk bulat torak (spt bentuk silinder) atau bulat tirus (spt bentuk kon), belongsong: kacang goreng itu segera dimasukkannya ke dlm ~ kertas (Sumber: Kamus Dewan Edisi Keempat)