Rabu, 14 Julai 2010

Perjalanan Pertama

Assalamualaikum

Cuti semester saya agak lama iaitu 3 bulan. Pada masa cuti, saya hanya berjalan dalam kawasan jajahan Kota Bharu. Biasanya pergi Pasar Borong Wakaf Che Yeh dan Mydin Mall di Kubang Kerian. Hanya 2 kali sahaja dapat menjejaki Jajahan Bachok. Di Kota Bharu, kami dilatih memandu sampai mahir. Cabaran di Kota Bharu tidaklah sesukar mana seperti di Johor Bahru kerana bandar Kota Bharu terletak di kawasan tanah yang rata serta tidak berbukit. Selain itu, jejambat di Kota Bharu masih dalam pembinaan.

Saya bertolak dari Peringat dalam pukul 7.30. Kemudian mengambil rakan saya di Bachok untuk menemani saya ke Johor. Kami mengikuti jalan pantai kerana jaraknya lebih dekat berbanding melalui jalan persekutuan 3.

Setibanya di Kuala Terengganu, pemanduan saya agak teruk di Kuala Terengganu kerana terlalu janggal. Arahan jalan raya berbeza dengan Kota Bharu. Kemudian saya singgah selama 30 minit di Merchang, Marang untuk menemui abang sulong saya. Mengikut perancangan saya, saya sepatutnya mengikut Jalan al-Mutakhafi Billal Shah. Atas nasihat abang saya, saya mengikut jalan pantai.

Di jalan pantai, saya terpaksa melalui bandar Dungun dan Chukai. Apa yang menyebabkan tidak puas hati ialah lampu isyarat terlalu banyak. Di bandar Dungun sahaja pun sudah ada 9 lampu isyarat terpaksa dilalui. Lebih-lebih lagi di simpang tiga, sepatutnya lorong yang memasuki jalan sebelah kanan diberhentikan. sebaliknya ketiga-tiga lorong kena berhenti. Ada juga lampu isyarat yang memasuki sekolah sahaja dipasang. Walaupun agak menyusahkan bagi saya, mungkin pihak berkuasa tempatan sangat menitik beratkan soal keselamatan. Walau bagaimanapun, jalan pantai banyak mempunyai jalan 4 lorong.

Kami melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Apa yang menarik, lebuhraya ini tidaklah sesibuk seperti Lebuhraya Utara-Selatan. Kami memasuki LPT melalui tol Jabor kemudian keluar melalui tol Gambang. Di LPT, kami singgah untuk menunaikan solat zohor dan asar.

Selepas melalui LPT, saya melalui Jalan Tun Razak iaitu jalan menghubungkan Gambang dengan Segamat. Bahu jalannya amat sempit dan banyak lori lalu-lalang di jalan ini. Alhamdulillah, sedikit sahaja treler dan lori balak melalui jalan ini. Cuma tiada lori kelapa sawit. Sebelum ini, kita dikejutkan 2 kemalangan maut yang berlaku di jalan ini sepanjang saya bercuti. Hal ini menyebabkan saya semakin tidak yakin memandu. Dengan doa mampu menjadikan perjalanan kita selamat. Bukan doa sahaja, tetapi kita perlu mematuhi had laju yang ditetapkan. Had laju bukanlah dijadikan sebagai perhiasan semata-mata tetapi untuk menjadikan perjalanan kita selamat.

Kami semakin gembira kerana sudah melepasi sempadan Pahang-Johor. Kami melalui Segamat. Di Segamat, terlalu banyak lampu isyarat. Tambah-tambah lagi, kami berada di Segamat semasa waktu puncak menyebabkan lalu lintas semakin sibuk. Setibanya di Yong Peng, kami memasuki Lebuhraya Utara-Selatan melalui tol Yong Peng (Selatan). Kereta yang melalui lebuhraya sangat laju. Walaupun saya memandu 110 km/j, kami sentiasa dipotong. walau bagaimanapun, saya tidak berhajat memandu melebihi 110 km/j kerana kawalan kenderaan semakin susah.

Kemudian, kami singgah di Machap. Di Machap, kami dapat solat maghrib dan isyak. Kemudian, kami makan malam disebabkan kelaparan. Kemudian, kami meneruskan perjalanan hinggalah ke Skudai. Alhamdulillah, kami selamat sampai di UTM. Kami lepak di bilik kawan saya disebabkan kami belum mengambil kunci bilik.



Jarak: 683.7 km

Tiada ulasan: