Rabu, 26 Ogos 2009

Diari pada bulan Ramadan di UTM

Assalamualaikum...

Alhamdulillah ke hadrat ilahi kerana memanjangkan umur saya untuk meneruskan berpuasa pada bulan Ramadan. Azam saya, saya akan menjadikan Ramadan ini lebih baik daripada sebelumnya. Oleh itu, saya mempertingkatkan ibadat kepada Allah serta merebut ganjaran yang seberapa banyak.

Bulan puasa ini diibaratkan sebagai Mega Sale. Analogi untuk orang yang suka membeli-belah terutamanya kawan-kawan saya yang suka melawat Jusco Taman U . Jikalau Mega Sale kita dapat diskaun, maka puasa pahala tidak akan diskaun tetapi pahala berlipat kali ganda. Jikalau saya menggunakan analogi seperti mahasiswa PALAPES, puasa ini ibarat kem latihan. Jika berjaya melaksanakan tugas di kem PALAPES, kita akan dinaikkan pangkat menjadi Lefternan Muda oleh Yang di-Pertuan Agong. Begitu juga dengan puasa, jika kita berjaya melakukan ibadat dengan bersungguh-sungguh, maka berjayalah kita di sisi Allah. Contohnya mendapat lailatulqadar. Itulah azam kami.

Malam dan Hari Pertama serta Malam Kedua(22-8-09)
  • Terawih berjemaah dengan 8 rakaat. Tidak ada masalah dengan terawih.
  • Mabit (bermalam) di Masjid Sultan Ismail untuk menyertai qiamulail perdana anjuran Persatuan Mahasiswa Islam UTM (PMIUTM) pada malam pertama. Ramai yang menyertai qiamulail ini.
  • Bersahur di Center Point (CP). Disebabkan kami bersahur pada pukul 5.15 pagi, di situ kekurangan nasi. Jadi kami terpaksa makan soto ayam.
  • Pergi ke bazar Ramadan di Student Mall (berhampiran dengan Arked Meranti), kira-kira 600m dari bilik saya. Di situ saya membeli nasi tomato dan buah kurma. Nasi tomato dekat UTM berbeza dengan nasi tomato dekat Pulau Pinang. Dekat Pulau Pinang lagi sedap.
  • Terawih pada malam kedua, kaki saya kejang kerana kuat berjalan di kampus. Walaubagaimanapun, saya tak patah semangat.
  • Pergi mabit di masjid, tidak seramai pada malam pertama.
Hari Kedua dan Malam Ketiga(23-8-09)
  • Melakukan qiamulail dan bersahur di bawah masjid. Banyak makanan sahur tidak dapat dihabiskan kerana tidak ramai yang menyertai sahur.
  • Melawat bazar Ramadan: Membeli nasi ayam dan buah kurma
  • Terawih: tiada masalah
Hari Ketiga dan Malam Keempat (24-8-09)
  • Bangun sahur pada 4.45 dan makan kat arked Cengal
  • Berbuka puasa di bawah masjid. Ramai yang menyertai majlis buka puasa ini. Yang seronoknya ialah makanan percuma. Majlis buka puasa diadakan setiap hari dan tanpa dikenakan bayaran. (padahal ada hamba Allah yang baik hati menginfakkan menyebabkan, Alhamdulillah)
  • Terawih: pakai baju Melayu tengkok Teluk Belanga. Maklumlah, sayakan berada di Johor. Tengkok baju Melayu itu kecil, dan saya pula membutang baju. Akibatnya, semasa rukuk, leher saya tercekik.
Hari Keempat dan Malam Kelima (25-8-09)
  • Bangun sahur pada pukul 4.30 pagi. Selepas sahur, saya tidak terus tidur kerana bimbang otak menjadi lembab
  • Tidur sekejap di masjid selama 10 minit sahaja.
  • Buka puasa di Masjid Pulai Perdana dan solat Maghrib berjemaah di sana. Disebabkan saya tertinggal kunci, saya meminta untuk pulang ke kampus. Setelah pulang, rupa-rupanya kunci ada dalam poket saya. Hal ini demikian kerana kunci terselit dalam kopiah dan kopiah pula saya letakkan dalam poket. Hal ini menyebabkan saya tidak merasa ada kunci.
  • Solat terawih: Saya sudah mengantuk kerana tidak cukup tidur kerana tidak terbiasa dengan cara tidur yang optimum iaitu tidur dalam masa 5 jam.
  • Walaupun diajak bertadarus al-Quran pada pukul 10.30 malam, saya tertidur pada pukul 10.00 malam kerana disebabkan mengantuk tidak cukup tidur dan satu lagi bosan dengan tugasan. Laptop telah dion tetapi belum buka Microsoft Word sudah tertidur. Tujuan on laptop untuk menyiapkan tugasan Falsafah Pendidikan.
Hari Kelima (26-8-09)
  • Alhamdulillah, saya bangun sahur juga akhirnya walaupun saya liat bangun pagi. Walaubagaimanapun, sahur pun lewat kira-kira pukul 5.15 pagi. Melewatkan sahur merupakan perkara sunat ketika berpuasa. Tetapi janganlah sampai dah azan subuh baru hendak bersahur.
  • Tidur pukul 8 pagi dan bangun pukul 10 pagi untuk mengumpul tenaga untuk menyiapkan tugasan Falsafah Pendidikan. Otak pun sudah menjadi lembab. Tugasan tetap dapat disiapkan separuh. Alhamdulillah
  • Sedang menulis blog....hehehe
Sekian terima kasih kerana membaca blog saya yang tidak seberapa.

Tiada ulasan: