Isnin, 16 November 2009

Cuti! Cuti! Cuti!

Assalamualaikum....

Sekian lama, saya tidak mengupdate blog disebabkan malas. Bukannya alasan sibuk.

Saya mula cuti pada 7hb November setelah Peperiksaan Semester 1 Sesi 2009/2010 tamat. Dimulakan dengan subjek TITAS dan diakhiri dengan Teknologi Pembelajaran dan Pengajaran.

Pada 7hb, saya balik ke Kelantan. Saya pulang ke Kelantan dengan menaiki kereta api Ekspres Timuran dan menempah tempat tidur. Seperti biasa, janji orang Melayu* selalunya tidak menepati masa. Sepatutnya bertolak pada pukul 7 malam, sebaliknya bertolak pada pukul 12 tengah malam. Memang nasibku macam ini, kerana selalu lewat bertolak. Di stesen kereta api Johor Bahru, sambil saya tunggu tren, saya berjalan-jalan ke City Square, sebuah pusat membeli-belah terkenal di Johor dan Singapura. Di stesen, saya sempat berkenalan dengan mahasiswi pendidikan Kemahiran Hidup dan sempat juga sempat berbual dengan pak cik dari Singapura. Sebab kelewatan tren ialah banjir di Pasir Mas.


Bangunan City Square Johor Bahru

Pada mulanya, saya ingin singgah di Kuala Lumpur sebelum memulakan perjalanan ke Kelantan. Tetapi hasrat dibatalkan apabila laptop saya mengalami kerosakan skrin. Kerosakan skrin pada mulanya muncul garisan di bawah seperti ombak laut. Lama-kelamaan, ia semakin menaik seperti laut semakin pasang. Kemudian, ia bergegar dan menyebabkan kepeningan apabila melihat skrin. Akhirnya skrin itu mengeluarkan montaj-montaj yang tak sepatutnya ditayang. Alhamdulillah, skrin berjaya diganti dengan percuma disebabkan oleh waranti. Tanpa waranti, mungkin akan menelan belanja sehingga seribu ringgit.

Seronoknya tengok kawan-kawan saya sedang bersukaria di Johor. Mereka mengajak saya, tetapi saya menolak.

mereka buat arca

celup kaki

Sekian sahaja. Saya akan mengupdate blog pada bila-bila masa jika ada idea.

* Janji orang Cina, India, dan macam-macam bangsa sama sahaja. Cuma janji orang Islam yang beriman selalu menepati masa.

Isnin, 2 November 2009

Kenapa Diciptakan Neraka?

Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya merekaakan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la...setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peraturan ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya,takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka..."

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka ? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga. Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:"perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol disyurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak.. takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz.

"Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya: "Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak. Assalamu'alaikum."

Khamis, 29 Oktober 2009

Exam! Exam! Exam!

Assalamualaikum

Sudah sekian lama saya tidak mengepos blog. Hal ini disebabkan oleh saya terlalu sibuk (padahal sibuk layan Facebook). Kutuk-mengutuk sesama bakal guru dalam Facebook itulah kerja kami. Kalau kami jadi cikgu pun, kami sempat berfacebook kalau hendak dibandingkan dengan jurutera. Kalau jurutera terutamanya jurutera pelantar minyak, nak online susah, sebab tiada rangkaian.

Saya hari ini ingin menceritakan pasal Ujian Akhir Semester. Saya mula peperiksaan pada 26 Oktober dengan ujian TITAS (Tamadun Islam dan Tamadun Asia). Soalannya agak susah dan mengelirukan tetapi saya BOLEH JAWAB. Hal ini demikian kerana, soalan setiap tahun sama tetapi hanya ubah sedikit.

Pada 27 Oktober, saya diujikan dengan subjek Kurikulum Sains dan Matematik. Apabila ditanya soalan, saya hanya pandai merapu.

Peperiksaan yang belum lagi dijalankan ialah Kimia Organik, Matematik Perantaraan, Teknologi P&P, dan Falsafah Pendidikan. Kimia Organik lebih dikenali sebagai KO sebab namanya subjek killer. Kalau tidak faham mekanisme, terpaksalah kena hafal.

Satu lagi, subjek Falsafah Pendidikan. Banyak falsafah-falsafah Barat dalam silibus ini. Orang Barat berfalsafah hanyalah merapu dan tin kosong. Terlalu banyak -isme dalam falsafah Barat dan sukar untuk difahami.

Darwin: Seorang kaki merapu dan munculnya falsafah
Darwinisme di mana terdapat evolusi dalam spesis.
Tiada bukti saintifik yang menjelaskan
kewujudan evolusi tersebut. (padahal tiada dalam
silibus Falsafah Pendidikan)


Kami tamat peperiksaan pada 6 November. Selepas itu, balik KL dahulu pada 7 November sebelum meneruskan perjalanan ke Kelantan.

Kepada yang mengambil peperiksaan, saya ucapkan Selamat Maju Jaya. Kalau boleh, janganlah kedekut bagi jawapan tau! Kita kena tolong-menolong....

Sekian...

Isnin, 5 Oktober 2009

PTPTipu

Assalamualaikum

Alhamdulillah, sudah selesai urusan PTPTN. Urusan penyerahan dokumen PTPTN dilakukan di Dewan Jamuan dalam bangunan pentadbiran. Saya menaiki Mercedez untuk ke Dewan Jamuan dengan berpakaian kemeja. Selepas tiba di Dewan Jamuan pada pukul 8.00pagi, pegawai PTPTN membagi nombor giliran. Saya dikenakan giliran ke 94. Sebelum menyerahkan dokumen, saya sempat membuat pengesahan saksi. Orang yang bersaksi sangat garang disebabkan oleh terlalu ramai yang meminta pengesahan. Saya pun dimarahi jugak dengan orang yang bersaksi kerana melengkapkan dokumen saat-saat akhir. Tetapi saya membuat ibarat menyekat tenaga bunyi untuk sampai ke koklea.

Tiba giliran saya, alhamdulillah, urusan penyerahan berjalan lancar. Pegawai-pegawai PTPTN sangat garang. Ada seorang perempuan sampai hendak menangis kena marah dengan pegawai PTPTN. Ada yang kata sampai pegawai PTPTN bagaikan hendak makan orang apabila nampak gigi pegawai keluar. Ada seorang kawan, 3 kali kena ditolak disebabkan dokumen tidak lengkap dan hal ini menyebabkan, dia terpaksa berjumpa dengan penasihat akademik sebanyak 2 kali dan terpaksa pulang ke bilik untuk mencetak borang lain disebabkan comok.

Saya rasa singa tidak segarang seperti pegawai
PTPTN. Baik ambil singa.

Banyak peristiwa-peristiwa di mana ramai kawan-kawan saya dimarahi oleh pegawai PTPTN. Ada sampai hendak menangis pun ada. Antara sebab-sebab menyebabkan pegawai semakin garang:
  1. Budaya kita memang suka melakukan kerja di saat-saat akhir. Di saat-saat akhir menyebabkan berlaku kekalutan. Saya pun tergolong juga.
  2. Pegawai PTPTN sudah 2 hari bertugas di UTM. Dengan jumlah pelajar yang sangat ramai dan kebanyakan kita membuat karenah. Kalau tidak tegas, macam mana nak lancarkan urusan penyerahan dokumen.
  3. Orang kita memang tidak menjadikan budaya membaca sebagai satu tabiat. Jadi, kita hanya tandatangan sahaja. Hal ini menyebabkan banyak perkara terlepas pandang. Sebagai contoh, saya dan kawan sebilik tidak perasan kena buat 2 salinan. Satu lagi, kita tidak suka membaca panduan mengisi borang.
  4. Prosedur untuk membuat pinjaman PTPTN terlalu menyusahkan. Biasalah, takkan hendak bagi secara semberono. Takkan semua kenal latar belakang kita. Kalau membuat sewa beli sebuah rumah ataupun kereta, prosedur tidaklah terlalu susah sangat. Kalau membuat pinjaman wang di bank kecuali ah long, prosedur terlalu susah sangat dan memerlukan ramai penjamin. Rumah tidak boleh dilarikan manakala duit boleh dilarikan bersama peminjamnya. Kereta pula boleh ditarik.
  5. Ahli keluarga saya menolong saya juga, tetapi mereka mahu saya mengikut cara sistem yang lama kira-kira lebih 5 tahun yang lepas.
  6. TIDAK MEMBACA BISMILLAH SEBELUM MENGISI BORANG (Kantoi)

Untuk mengelakkan kita membuat dosa dengan mengumpat pegawai ataupun mengutuk pegawai PTPTN, kita perlulah:
  1. Baca arahan dengan teliti mengisi borang
  2. Elakkan melakukan kerja "last-minute"
  3. Cetak 2 borang, dan jangan fotostat borang yang sudah ditandatangan
  4. Jangan segan bertanya kawan yang sudah melakukan penyerahan dokumen sebelum hari penyerahan dokumen. Sebagai contoh, saya bertanya kawan saya dan kawan saya sempat memberitahu bahawa tarikh di semua borang mestilah sama.
  5. BACA BISMILLAH DAHULU SEBELUM MENGISI BORANG
Yang sudah dapat, tidak mengapa, berseronoklah dengan duit anda. Tetapi ingat, bayar balik tau. Kalau tidak, imigresen sekat awak ke luar negara, walaupun ke Singapura.
Itulah serba-sedikit tips-tips menghadapi pegawai PTPTN. Kalau ada sebab ataupun tips-tips yang lain, sila hantarkan komen anda.

P/S: Sebenarnya saya naik bas Mercedez. Bas Mercedez lebih mahal daripada kereta Mercedez mata bulat.

Rabu, 30 September 2009

Broadband vs Berukband

Saya nak menunjukkan sebatang barangan dunia. Mengikut mentaliti masyarakat kita, sesiapa yang memiliki broadband, seseorang itu merupakan orang kaya. Betulkah mentaliti mereka? Tidak mengapalah, saya hendak menceritakan sebatang modem menyebabkan saya sentiasa mendapat Internet.


Modem Broadband

Saya membeli broadband kerana tugasan dalam kursus pendidikan memerlukan akses Internet dan buku sebagai sumber rujukan untuk menyiapkan tugasan. Internet paling mudah digunakan untuk mencari rujukan. Hanya taip kata kunci, dah dapat maklumat. Kalau dibandingkan dengan menggunakan buku, terpaksa mencari di PSZ. Kebanyakan tugasan pendidikan berbentuk folio. Mesti membosankan?

Saya sekarang menggunakan Celcom Broadband. Saya melanggang broadband di Bangunan Kesatuan Pelajar (SUB) ataupun lebih dikenali sebagai Ketumbar. Harga sebatang modem ialah RM250 bermodelkan Vodafone dan bil bulanan bernilai RM68. Tetapi sayang, tiada pakej untuk pelajar. Sepatutnya, semasa saya mula-mula masuk UTM, ada promosi untuk pakej pelajar yang menawarkan bil bulanan sebanyak hanya RM50. Disebabkan ketika itu tidak merasakan keperluan ada broadband, saya melepaskan peluang ini. Kalau nak laju lagi, langganglah RM98 sebulan. Buatlah pilihan tepat!

Biasanya, kalau hendak melayari Internet, pastikan kawasan kita ada rangkaian 3G. Jikalau tiada rangkaian 3G, sekurang-kurangnya ada GPRS untuk mengakses Internet. Walau bagaimanapun, GPRS selalunya terlalu lembab. Modem yang saya pakai ialah modem yang menggunakan teknologi Capaian Paket Pindah Turun Berkelajuan Tinggi (bahasa Inggeris: High-Speed Downlink Packet Access, HSDPA) yang juga merupakan atas daripada 3G biasa.

Masa yang paling laju untuk mendapat akses Internet ialah waktu subuh. Paling lembab pada waktu selepas Isyak. Masa itu merupakan waktu perdana. Kenapalah mereka suka guna masa ni? Bagilah saya peluang untuk mengakses Internet dengan menonton TV. Cerita yang ditayangkan di kaca TV semestinya seronok.



Berukband

Kalau broadband lembab, lagi tertekan. Saya sepatutunya sambil tunggu tengah loading, baik dengar lagu kumpulan berukband (berukband ada ke?).

Ahad, 27 September 2009

antivirus


Pada petang ini (sebab saya publish post ni pada waktu petang), saya nak tunjukkan antivirus iaitu BitDefender Internet Security 2009. Saya membeli antivirus ini di Arked Meranti semasa promosi pada akhir Julai. Semasa promosi, ramai bersesak-sesak memasuki kedai komputer. Apa yang membuatkan rasa bengang ialah ada perempuan Cina tidak kira lelaki perempuan menolak saya menyebabkan kulit tersentuh. Balik ni kena istighfar banyak-banyak.

Sebelum ini, saya pakai Norton, tetapi disebabkan hampir luput tarikhnya, jadi saya terpaksa membeli BitDefender dengan harga promosi iaitu RM39. Murahkan. Pada mulanya, antivirus ini memang menyakitkan hati sebab hendak mengemaskini, terpaksa mendownload update file dengan 60MB. Wifi kat UTM lembab. Tetapi, alhamdulillah, semasa orang tengah tidur di subuh hari, saya mengambil peluang mendownload update file dengan laju. Tak sampai 2 minit pun berjaya update.

Tapi harus diingatkan bahawa, antivirus ini mustahil mampu melawan H1N1. Sebab BitDefender melawan virus komputer. Untuk menghadapi gelombang kedua H1N1, saya harus mempersiapkan diri dengan sistem imunisasi.

Sekian sahaja.

Diari Hari Raya

Seminggu berhari raya...
Kunjung-mengunjung rumah terbuka...Hoi
Jalinkan Kasih Sesama Kita
Lupakan Saja Sengketa Lama

Baru seminggu berhari raya, tetapi hanya 6 hari sahaja saya.

Sebelum hari raya, saya pergi mengunjungi Kota Bharu Trade Center di mana di situ ada Parkson dan Giant baru dibuka. Kota Bharu sekarang banyak berubah. Jalan-jalan banyak dijadikan jalan sahala menyebabkan saya keliru dengan jalan. KB banyak berubah.

Semasa hari raya, saya tidak keluar berjalan-jalan ke rumah terbuka. Saya hanya terperap dalam bilik saja. Selepas hari raya ketiga, baru saya keluar berjalan ke rumah terbuka. Saya mengikut kakak saya ke Tumpat dan Tanah Merah. Jalan-jalan raya nak ke jajahan lain amat sesak. Lampu isyarat dan bulatan tanpa polis trafik menyebabkan jalan sesak.

Sekarang ni, saya berada di Johor setelah 6 hari duduk di rumah. Perjalanan dari KB ke UTM Skudai memakan masa 14 jam. Lamanya. Kalau naik kapal terbang, sudah tentu sampai di Eropah. Itu sahaja

Saya mengucapkan

SELAMAT HARI RAYA
MAAF ZAHIR DAN BATIN
Ikhlas daripada Uzailun