Ahad, 30 Mac 2014

Persediaan Menghasilkan Apps Menggunakan jQuery Mobile

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pernahkan anda mengenali jQuery Mobile? Apa itu jQuery Mobile?

jQuery Mobile ialah kerangka yang digunakan mencipta aplikasi web untuk telefon mudah alih. Maaf, ayat saya sangat teknikal tetapi saya ingin menceritakan apa itu jQuery Mobile. Kelebihan jQuery ialah menggunakan HTML5 dan CSS3 dengan skrip sangat mudah dan yang paling penting ialah ia merupakan sumber terbuka (open source). Sebab itu tagline jQuery ialah Write Less, Do More.

Logo jQuery Mobile
Entri kali ini, saya akan menerangkan membina applikasi (apps) untuk Android dengan menggunakan platform jQuery Mobile secara surface. Sebelum ini, saya berjaya menghasilkan apps untuk Android OS dengan menggunakan perisian Adobe Flash. Untuk membuka apps tersebut, anda perlu memuat turun Adobe AIR. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa telefon pintar atau tablet tidak dapat menyokong penggunaan Adobe AIR seperti ASUS Fonepad. Jika Apple iPad dan iPhone semestinya tidak menyokong sama sekali kepada produk yang dihasilkan dengan menggunakan Flash Player. Ini disebabkan oleh beberapa faktor teknikal seperti ketidakstabilan Flash pada produk Apple. Sebaliknya, HTML5 digunakan untuk platform bagi menggantikan platform Flash.

Untuk mempelajari membuat apps, anda perlu ada pengetahuan asas menggunakan kod-kod HTML di mana asas untuk membina sesebuah laman web. Namun, kali ini, jQuery Mobile ini berasaskan kepada HTML 5.

Perisian yang diperlukan


Perisian yang diperlukan untuk membina apps dengan menggunakan platform jQuery Mobile ialah:

1. Notepad++ (Pilihan A)

Logo Notepad++
Perisian yang biasanya digunakan untuk membina kod-kod HTML menggunakan Notepad++ kerana kebolehan untuk mengesan kesilapan-kesilapan menaip kod dengan mudah. Ia dibantu dengan pelbagai warna tulisan supaya dapat membezakan fungsi-fungsi kod. Apa yang penting mengenai perisian ini ialah ringan, mudah dikendalikan, versatil, dan sumber terbuka.
Antaramuka Notepad++

2. Adobe Dreamweaver (Pilihan B)

Logo Adobe Dreamweaver CS6

Selain Notepad++, anda boleh menggunakan Adobe Dreamweaver bagi yang tidak terlalu mahir menggunakan kod-kod sepenuhnya. Hal ini demikian kerana, Notepad++ tidak hadir dengan preview dengan segera. Jika ingin melihat preview, anda perlu menggunakan pelayar laman web seperti Google Chrome, Mozilla Firefox, atau Internet Explorer yang menyokong penggunaan HTML 5.

Antara muka Adobe Dreamweaver CS6. Ia dilengkapi dengan Live view tanpa melihat Preview melalui Internet Browser. Namun, preview di Live view tidak sesempurna seperti dalam pelayar laman web.
3. Internet Explorer/Mozilla Firefox/Google Chrome/sewaktu dengannya

Digunakan untuk preview hasil kerja yang anda lakukan. Ia berfungsi sepenuhnya. Jika hasil anda tidak memuaskan, hasil anda boleh disunting sampai berjaya.

Perkhidmatan dalam Web


Laman web ini ialah sumber utama bagi developer dalam penghasilan kod HTML dengan platform jQuery Mobile. Laman web ini dibangunkan oleh jQuery Foundation. Untuk pengetahuan, jQuery Foundation ialah organisasi yang tidak berasaskan keuntungan yang disertai oleh pembangun-pembangun web. jQuery bukan sahaja tertumpu kepada mobile sahaja malah merangkumi kepada semua gajet.

Berbalik kepada jQuery Mobile, laman web ini menyediakan banyak kod-kod HTML yang dijadikan sebagai panduan. Di sini juga ada disediakan kod-kod javascript dan CSS yang menjadi kerangka utama kepada jQuery Mobile. Selain itu, banyak pautan yang disediakan seperti melawati laman web pembangun. Pautan untuk ke forum juga disediakan bagi berkongsi hal-hal berkaitan mengenai jQuery Mobile.

Kebanyakan hasil kerja saya merujuk kepada demo jQuery Mobile. Apa yang anda perlu lakukan ialah hanya copy and paste kod HTML tersebut untuk dimasukkan dalam web editor seperti Notepad++ atau Adobe Dreamweaver. Selepas itu, anda juga boleh menyunting kod yang disalin tersebut. Selain itu, anda juga boleh mengubah tema sesuatu reka bentuk apps dengan menggunakan CSS.


Di sini juga menyediakan panduan-panduan untuk membina laman web berasaskan jQuery Mobile. Di sini juga, anda boleh mencuba membuat demonstrasi mengubahsuai kod HTML dengan klik kepada "Try it Yourself".

3. GitHub

GitHub merupakan sebuah perkhidmatan laman web yang menyediakan perkongsian kod-kod HTML dalam sebuah komuniti yang sangat besar. Anda juga boleh memuat naik kod-kod HTML anda ke dalam GitHub dan juga sumber-sumber yang boleh menghidupkan sesuatu page seperti gambar. Dalam GitHub juga, sesiapa sahaja boleh mengubah kod-kod HTML dimuat naik. Jika ada kesalahan dalam kod HTML, sesiapa sahaja boleh memperbetulan kesilapan. Sebab itu, GitHub merupakan laman web perkongsian HTML berasaskan komuniti. Untuk memuat naik kod-kod HTML dan sumber-sumbernya, anda perlu memuat turun GitHub Bash di mana fungsinya sama seperti FTP.

4. PhoneGap Build

Ini merupakan kemuncak proses untuk membikin sesebuah HTML yang menggunakan jQuery kepada bentuk apps untuk Android, Windows Phone dan iOS. PhoneGap menyediakan satu compiler yang menggabungkan HTML, Javascript dan CSS bagi membentuk satu apps. Setakat ini saya berjaya menghasilkan apps untuk Android dan Windows Phone. Namun, untuk iOS, saya tidak berjaya lakukan kerana untuk menghasilkan apps untuk iOS, saya perlu mendaftar dan membayar kepada Apple untuk menjadi sebagai pembangun atau developer. Saya sebenarnya tidak pernah menguji pada Windows Phone disebabkan tidak semua orang memakai Windows Phone. Namun begitu, saya bersyukur kerana dapat menghasilkan Apps untuk platform Android. Anda boleh melayari dengan klik di sini.

Laman web Phonegap Build. Ia di bawah kendalian Adobe Inc.
Setakat itu sahaja perkongsian dari saya.

Rujukan:

  1. http://jquerymobile.com/
  2. http://jquerymobile.com/demos/
  3. https://jquery.org/
  4. https://github.com/
  5. http://phonegap.com/about/
  6. http://phonegap.com/
  7. Broulik, B. (2011). Pro jQuery Mobile: Apress.

Ahad, 2 Mac 2014

Dari Pandangan Lensa: #3 - Perkara Asas untuk Mengawal Kamera DSLR

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Digital camera and its controls ISO White Balance Lenses Photography equipment and accessories

Kepada yang masih baru berkecimpung dalam dunia fotografi, anda masih memerlukan menggunakan mod automatik. Apa salahnya jika anda menggunakan mod manual, sebagai langkah untuk menjadi seorang professional. Takkan nak gunakan mod automatik sampai ke tua. Anda kena berani mencuba mod manual. Jangan risau, ia tidak akan merosakkan kamera DSLR anda. Sebelum awak nak menjadi kononnya menjadi seorang professional, apa yang anda dikehendaki ialah anda perlu mengetahui konsep-konsep seperti berikut:
  1. Aperture
  2. Shutter Speed
  3. ISO

Aperture

Apa itu apecer? ops Aperture.... Apa yang menyebabkan apabila gambar kita saja yang fokus, yang belakang akan di"blur"kan? Aperture (bukaan) atau f-stop merupakan salah satu tetapan untuk mengawal saiz bukaan lensa yang membenarkan cahaya masuk ke dalam kamera. Makin luas bukaan, makin banyak cahaya masuk, makin cerah gambar itu, dan bertambah "blur" imej belakang objek tersebut (latar belakang atau background). Gambar yang kita fokuskan ialah gambar foreground Kalau makin "blur" background, makin cantik gambar tersebut. Akan tetapi, ada kes yang tidak memerlukan backgrond di"blur"kan. Anda ke Paris, ingin mengambil gambar kawan/saudara anda semua. Jika menggunakan aperture rendah maka ia akan menyebabkan gambar background seperti Eifel Tower akan "blur". Apa yang kita mahu ialah kedua-dua gambar foreground dan backgrounf difokuskan.

Di sini saya memberikan contoh anak Mat Salleh untuk aperture tersebut.
Aperture f/2.8: Background di"blurkan".

Aperture f/22: kedua-dua foreground dan background difokuskan
 
Shutter speed

Untuk menjadikan gambar berbentuk statik. Jika anda ingin mengambil gambar kipas yang sedang berpusing dengan kelajuan 5 di tombol, anda boleh menjadikan imej kipas sebagai statik dengan menggunakan shutter speed yang laju. Semakin laju shutter speed, semakin "beku" imej tersebut. Walau bagaimanapun, anda memerlukan cahaya yang mencukupi untuk menangkap gambar supaya imej tidak gelap. Jika menggunakan shutter speed yang perlahan, imej yang bergerak akan "blur".

Shutter speed 1/40 s (0.025 saat): gambar kipas "blur"

Shutter speed 1/640 s (0.0015625 saat): gambar kipas nampak statik


ISO

ISO ialah kepekaan kamera terhadap cahaya. Semakin tinggi ISO, semakin tinggi kepekaan terhadap cahaya namun ia didatangi dengan "noise" apabila ISOnya tinggi. Untuk menghasilkan gambar yang jelas tanpa "noise", ISO perlu direndahkan dan cahaya perlu diperlukan dengan banyak. Oleh sebab itu, fotografer menggunakan flash untuk menjadikan gambar semakin jelas dengan ISO rendah apabila menangkap gambar di tempat yang malap.

ISO 100: Gambarnya jelas kerana tiada "noise"

ISO 3200: Wujudnya "noise"
Jika yang tiada kamera atau yang ada kamera tapi sayang nak guna, anda boleh mencuba simulasi di sini.

Contoh simulasi untuk kamera DSLR Canon EOS


Rujukan:
http://www.canonoutsideofauto.ca/learn/tips.php
http://camerasim.com/apps/camera-simulator/

Isnin, 17 Februari 2014

Dari Pandangan Lensa: #2 - Nikon vs Canon

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hidup ini adalah pilihan. Ada yang memilih untuk kerjaya, tempat pengajian, peluang pekerjaan dan memilih calon isteri/suami. Setiap pilihan ada natijahnya tersendiri sama ada pilihan ini mempunyai kesan positif atau negatif. Jika kita tengah pening memikirkan pilihan, formulanya mudah, istikarah sahaja. Ingin melaksanakan atau tidak itupun pilihan juga.

Dalam entri ini, saya bukan ingin menjadi pakar motivasi yang selalu terpampang di depan plastik TV LCD (ganti dengan kaca TV). Tetapi saya ingin berkongsi mengenai pilihan untuk memilih tipu daya dunia iaitu kamera DSLR dari syarikat yang terkenal dengan penghasilan kamera.

Kereta

Sebelum saya membincangkan mengenai kamera, saya buat perumpumaan dengan memilih kereta. Kita bandingkan antara kereta Toyota Camry dengan Honda Civic. Siapa menang? Kita lihat spesifikasi di bawah.

Perbandingan antara Toyota Camry dan Honda Civic
Kita tengok spesifikasi pun sudah tentu menang Toyota Camry. Harganya mahal, spek yang tip-top. Mana aci! Apa kata kita bandingkan dengan spesifikasi yang lebih kurang. Saya bandingkan antara Honda Accord dengan Toyota Camry.

Perbandingan antara Toyota Camry dan Honda Accord
 Jika lihat spesifikasi antara Toyota Camry dan Honda Accord, spesikasi lebih kurang sama. Jika membuka forum dalam Internet perbincangan mengenai automobil, ada antara mereka yang penggemar kereta suka membandingkan kereta mana bagus. Spesifikasi lebih kurang sama sahaja. Setiap pengeluar kereta mempunyai pro dan kontranya tersendiri.

Maklumat Lanjut Sila Rujuk di sini

Nikon vs Canon? Siapa Menang?

Entah, siapa yang menang. Saya tidak boleh membuat penilaian awal sebab tidak melihat profil pengeluar kamera, sejarah dan kameranya.
 Kita lihat profil syarikat pengeluar kamera. Kedua-dua syarikat ini berasal dari Jepun. Canon ditubuhkan pada tahun 1937 manakala Nikon ditubuhkan pada tahun 1917. Pada awal penubuhan kedua-dua syarikat, syarikat tersebut membuat kaca optik. Sejarah kedua-dua syarikat untuk menghasilkan kamera sangat panjang. Setakat ini, antara syarikat pengeluar kamera DSLR yang terkenal ialah Canon dan Nikon. Kalau pergi ke majlis kenduri, kamera yang saya selalu nampak ialah kamera DSLR berjenama Canon dan Nikon. Jarang nampak orang pakai Sony.

Sejarah perkembangan teknologi kamera Canon dan Nikon

Jadi siapa yang menang? Nikon atau Canon?

Tunggu dulu, ini baru cerita mengenai profil syarikat pengeluar kamera, belum lagi bandingkan kelebihan kamera. Saya membandingkan antara dua kamera yang sama spesikasi iaitu Canon EOS 7D dan Nikon D300S. Saya tidak boleh membandingkan antara kamera DSLR Canon dengan kamera digital berjenama Nikon. Tidak usah bertanya siapa yang menang. Saya bandingkan kedua-dua kamera ini kerana spesifikasinya lebih kurang sama. Kita lihat perbezaan kamera tersebut.



Saya membuat perbandingan antara dua kamera yang spesifikasinya lebih kurang sama. Yang saya tick hijau merupakan ciri-ciri kamera yang dapat mengatasi dari segi kelebihan spesikasi antara satu sama lain. Harga minimum untuk kamera berdasarkan sumber yang diperolehi untuk kamera DSLR Canon EOS 7D dan Nikon D300S masing-masing mencecah RM 4 300 dan RM 4 700. Kalau aku kaya, dan diberi pilihan membeli dua kamera tersebut, saya lebih gemar kepada kamera DSLR Nikon D300S kerana ciri utama banyak lens boleh digunakan untuk kamera jenis ini. Lagipun, saya sudah terbiasa menggunakan fungsi-fungsi dalam kamera Nikon. Jika saya diberi kamera Canon, ia akan memakan masa untuk saya pelajari. Anda bagaimana?

Maklumat Lanjut Sila ke laman ini.

Bertarung di Laman Forum

Jika dilihat di laman forum, mereka bertempur sesama sendiri di medan forum dengan bersenjatakan sepapan papan kekunci dan berpelurukan idea-idea. Mereka berjuang bermati-matian di pertempuran sehingga mati... Mati akal. Sungguh malang sekali apabila ia memecah belahkan manusia sejagat kerana mempertahankan kecanggihan kamera DSLR masing-masing dan menghentam kedaifan kamera DSLR di pihak lawan.

Oleh itu, jika mahu menjadi pahlawan di medan forum, pastikan anda menjaga tatasusila sebagai pejuang dalam forum. Jangan menjadi hamba kepada kamera DSLR sehingga boleh mengabaikan tanggungjawab terhadap umat. Kita kena tahu bahawa setiap ciptaan manusia ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Oleh itu, kita terima sebagai variasi dalam kehidupan. Sudahla politik sudah memecah belahkan umat, bola pun sama. Saya harap jangan ada sesuatu material yang tidak kekal pun dijadikan sebagai bahan untuk memecahbelahkan umat.

Setakat itu sahaja entri kali ini.

Sekian.

Post ini dihantar untuk refleksi kursus MPT1483 - Penerbitan Teknologi Visual Statik

Rujukan:
  1. http://snapsort.com/compare/Canon_EOS_7D-vs-Nikon_D300S
  2. http://snapsort.com/compare/Canon_EOS_7D-vs-Nikon_D300S/specs
  3. http://www.cars.com/go/compare/trimCompare.jsp?acodes=USC40TOC021H0,USC40HOC011A0&compType=E
  4. http://www.cars.com/go/compare/trimCompare.jsp?acodes=USC40TOC021H0,USC40HOC021A0 
  5. http://www.thisweekinphoto.com/2012/the-history-of-the-nikon-vs-canon-battle-infographic/

Jumaat, 14 Februari 2014

Dari Pandangan Lensa: #1 - Kamera yang Saya Ada Sekarang

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya akan memperkenalkan barang duniawi yang saya ada iaitu kamera. Kamera apa yang saya ada? Mari kita lihat kamera-kamera tersebut.

Sony Cybershot DSC-W180

Kamera ini dibeli pada tahun Januari 2010 di Kota Bharu, Kelantan. Pada ketika itu, harga kamera digital tersebut berharga RM600. Tujuan membeli kamera untuk menangkap gambar ketika melakukan aktiviti di UTM (Universiti Teknologi Malaysia). Kamera ini sangat berjasa kepada saya kerana telah merakam saat-saat indah di luar negara seperti Beijing dan Jogjakarta. Pada ketika itu, saya hanya mempunyai kamera di telefon genggam Nokia 5300 dan Sony Ericsson W200. Namun, kamera tersebut mempunyai kualiti gambar yang sangat rendah.
Kamera Digital Sony Cybershot DSC-W180. Ditangkap dengan menggunakan Samsung Galaxy Ace Plus
Saya akan menerangkan spesifikasi ringkas mengenai kamera digital saya:
  • 10.1 MP
  • Kanta 3x zum
  • Paparan LCD 2.7 inci
  • Pengesan muka dan senyuman
  • Paparan Histogram
  • Bateri Lithium-ion
Untuk maklumat lanjut mengenai spesifikasi kamera, sila klik di sini.
Pada saya, kamera ini sangat berbaloi kepada saya dalam fotografi walaupun kualiti tidak sehebat kamera DSLR. Untuk hasil yang terbaik, gambar-gambar tersebut perlu ditangkap pada waktu siang atau lebih senang cerita pada waktu tengah hari. Bagi photographer, menangkap gambar pada waktu tengah hari panas memberi hasil terbaik walaupun terpaksa mendedahkan diri kepada bahangnya panas mentari.
Gambar yang ditangkap dengan menggunakan Kamera Digital Sony Cybershot DSC-W180
Samsung Galaxy Ace Plus GT-S7500

Telefon pintar ini merupakan telefon pintar dengan sistem operasi Android yang pertama saya miliki. Telefon ini dibeli pada 15 November 2012 di Kota Bharu, Kelantan. Tujuan telefon ini dibeli ialah kerana ingin memenuhi kehendak saya untuk memiliki telefon pintar dengan sistem operasi Android. Walaupun tujuan agak negatif, namun telefon ini banyak kegunaan seperti membaca emel, bermain permainan, membaca al-Quran dan sebagainya. Yang penting saya dapat menggunakan Android kerana Android banyak menyediakan aplikasi-aplikasi. Sehingga sekarang saya masih menggunakan telefon pintar tersebut walaupun spesikasi sangat rendah. Walau bagaimanapun, saya masih memerlukan telefon ini kerana saya ingin membangunkan aplikasi-aplikasi yang compatible dengan telefon saya. Hal ini akan membolehkan aplikasi yang saya cipta dapat digunakan pada telefon yang mempunyai pelbagai spesifikasi.

Samsung Galaxy Ace Plus (ditangkap dengan menggunakan Sony Cybershot DSC-W180)

Antara spesikasi ringkas:
  •  Beratnya ialah 114g
  • Kapasiti bateri: 1300mAh
  • Paparan TFT dengan resolusi 480 X 320. Saiz paparan ialah 3.65 inci
  • Android 2.3.6 (Gingerbread)

Saya tidak membincangkan mengenai ciri-ciri telefon ini, tetapi saya akan menerangkan kamera telefon pintar ini. Antara spesifikasi kamera pada telefon ini ialah:
  • Kamera beresolusi 5MP
  • 3X zum digital
  • LED Flash
  • Auto Focus
  • Mod:  Single / Continuous / Panorama / Self-shot / Smile shot
  • Efek:  Black and white / Negative / Normal / Sepia
  • Keseimbangan putih: Auto / Daylight / Incandescent / Fluorescent / Cloudy
  • ISO: Auto/100/200/400
Keadaan Puri Pujangga UKM (ditangkap dengan menggunakan Samsung Galaxy Ace Plus)
Walaupun spesifikasi kamera sangat rendah tetapi dari segi berkongsi gambar sangat mudah kerana dapat menghubungkan dengan Internet melalui wifi atau data, USB,  dan Bluetooth. Jika kualiti gambar sangat buruk, maka saya akan menggunakan Adobe Photoshop untuk menyunting gambar supaya kekurangan kualiti gambar dapat ditutup.

Jika mengikut kehendak saya, saya ingin membeli sebuah kamera DSLR dengan harga murah dan lens tidak terlalu hebat. Yang penting asalkan ada kamera DSLR. Lama-kelamaan, saya akan berusaha membeli lens yang lagi mahal kerana tidak berpuas hati dengan kamera DSLR tersebut. Kemudian saya akan membeli badan kamera yang lagi mahal. Seterusnya.....(entah apa akan jadi)

Begitulah kehendak nafsu yang tidak ada penghujungnya. Kalau ikutkan nafsu saya, kalau boleh saya ingin memiliki segala apa yang ada di dunia bak lirik lagu "Kalau Aku Kaya" nyanyian Awi Rafail dan Altimet. Betul kata ulama, "nafsu melebihi kemampuan". Oleh itu, tundukkan nafsu untuk memiliki sesuatu material dan bersyukur apa yang kita ada sekarang. Saya bukan nak halang diri saya untuk membeli kamera DSLR kerana ia adalah salah satu kecenderungan saya dalam bidang teknologi.

Setakat itu sahaja entri kali ini.

Post ini dihantar untuk refleksi kursus MPT1483 - Penerbitan Teknologi Visual Statik.

Semoga enjoy membaca.

Selasa, 29 Oktober 2013

Kumpulan 1 - Logam Beralkali

Assalamualaikum dan salah sejahtera.

Kali ini saya ingin berkongsi sebuah video mengenai Kumpulan 1 - Logam Beralkali. Logam beralkali jika menuruni kumpulan mempunyai litium, natrium, kalium, rubidium dan caesium.

Jadual Berkala. Kumpulan yang berwarna merah merupakan kumpulan logam beralkali


Video 1

 

Saya percaya, video di atas ramai ditayang oleh guru-guru kimia kepada murid-murid. Hal ini demikian kerana, kalau dicari dalam YouTube, video seperti ini awal-awal lagi sudah dicadangkan oleh YouTube dan mempunyai  banyak viewer.

Elemen Pengajaran

Video ini menunjukkan sifat-sifat kereaktifan Kumpulan 1 (Kumpulan Logam Beralkali) dengan menggunakan kaedah demonstrasi. Dalam video ini mengisahkan bahawa, dalam Kumpulan 1, semakin menuruni kumpulan dalam jadual berkala, semakin reaktif bahan tersebut.

Dalam sistem sekolah kita, hanya pihak sekolah menyediakan logam litium, natrium dan kalium untuk menjalankan uji kaji tentang kereaktifan kumpulan 1. Sedangkan dalam video ini menunjukkan, kesemua uji  kaji terhadap logam tersebut ini sungguh membosankan. Akhirnya, dalam video ini menjalankan uji kaji kereaktifan rubidium terhadap air dalam tab mandi. Jadi, letupan kuat terhasil berbanding dengan ketiga-tiga logam tersebut dan memecahkan tab mandi.

Seterusnya, mereka meneruskan lagi uji kaji dengan menggunakan caesium untuk bertindak balas dengan air. Akhirnya caesium menghasilkan letupan sangat kuat dan menghancurkan tab mandi.

Kelebihan video:
  1. Menunjukkan kereaktifan logam-logam rubidium dan caesium secara nyata. Kedua-dua logam ini tidak disediakan di sekolah kerana sangat mahal dan merbahaya.
  2. Pengacara menunjukkan gaya yang penuh minat tehadap eksperimen.
  3. Intonasi pengacara menggalakkan penonton tertanya-tanya apa akan terjadi jika logam tersebut bertindak balas.
  4. Penyampaian video lebih berdramatik. Tidak hairanlah video ini banyak ditayangkan oleh cikgu-cikgu Kimia di sekolah.
Kelemahan video:
  1. Saiz rubidium dan caesium yang dilempar ke dalam air lebih besar berbanding dengan logam litium, natrium dan kalium yang dikatakan kurang menghasilkan letupan dan hanya berlegar-legar di permukaan air. Pada zaman sekolah, saya dan rakan sekelas pernah melempar natrium sebesar ibu jari dalam kolam ikan kemudian menghasilkan letupan juga.
  2. Video ini pernah dipertikaikan fakta kerana menghasilkan letupan diluar logik akal bagi mana-mana saintis. Ada yang membuktikan bahawa terdapat bahan letupan lain selain logam beralkali. Walaupun fakta dipertikaikan, namun dari segi konsep kereaktifan tetap benar jika menuruni kumpulan.
  3. Apa yang menjadi tanda tanya, kalau rubidium dan caesium dicampak dalam tab mandi, kenapa mengambil sedikit masa untuk meletup. Kalau saya melempar litium, natrium, dan kalium, secara on the spot bahan tersebut bertindak balas dan menghasilkan api.
  4. Cara wanita berpakaian yang tidak bersesuaian dengan budaya kita.
Untuk maklumat lanjut, sila tanya pakar kimia.

Video 2

Sebagai alternatif, video ini sesuai untuk dijadikan bahan bantu mengajar.

Elemen Pengajaran:

Dalam video tersebut, mereka menguji kaji bukan dari segi tindak balas dengan air sahaja tetapi menguji tindak balas dengan oksigen juga dengan membiarkan logam tersebut terdedah. Semakin menuruni kumpulan dalam jadual berkala, semakin cepat logam menjadi logam oksida.

Kelebihan video:
  1. Menunjukkan tindak balas dengan air dan tindak balas dengan oksigen.
  2. Penerangan konsep kereaktifan logam beralkali dengan lebih tepat dan padat.
Kelemahan video:
  1. Mempunyai gangguan audio seperti noise.
  2. Resolusi video sangat kecil.
Sebagai kesimpulan, guru perlu berhati-hati menayangkan video untuk mengajar agar tidak tersalah fakta. Jika tersalah fakta, kemungkinan besar murid-murid akan mengikuti apa yang telah guru ajar. Seperti pepatah Melayu "bapa kecing berdiri anak kencing berlari". Adakah kita ingin melahirkan saintis dengan ilmu yang palsu?

Sekian, terima kasih.

Ahad, 15 September 2013

Seminggu Sebagai Mahasiswa Master

Assalamualaikum.

Tanggal 28 Ogos 2013, saya sudah mendaftarkan diri sebagai mahasiswa pasca ijazah. Saya mengambil Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan). Kenapa saya mendaftar sebagai pelajar master? Pada saya, ia merupakan antara perancangan saya sewaktu tahun satu sewaktu degree. Ini disebabkan oleh pada waktu itu, saya sangat tidak meminati Pendidikan Kimia. Sekarang saya masih menunggu penempatan guru yang belum pasti tarikhnya. Selain itu, memang saya sejak dari dahulu meminati belajar walaupun pointer sewaktu degree tidaklah sehebat sangat. Tidak hairan banyak orang gelarkan saya sebagai “Wikipedia Bergerak”, “Google Search Bergerak” dan “GPS Hidup”. Maaf, ilmu saya tidaklah setinggi mana pun.

Sebelum Daftar
Sesudah tiba di bumi UTM pada 23 Ogos 2013, saya menginap di Kolej Tun Razak (KTR). Tempoh menginap saya sehingga 25 Ogos kerana memberi laluan kepada pihak kolej membersihkan kawasan kolej sebelum pelajar tahun satu. Akibatnya, saya terpaksa hidup merempat ke mana-mana dan barang-barang saya penuh di dalam kereta saya.

Pendaftaran Master
Sewaktu pendaftaran pada 28 Ogos, hati saya sangat gemuruh sama ada saya dapat mendaftar master ataupun tidak. Hal ini demikian kerana, saya tidak dapat menyediakan jumlah yuran penuh sebelum pendaftaran. Sebelum ini, saya pernah dimaklumkan bahawa untuk mendaftar master, saya perlu menjelaskan yuran penuh. Dengan sokongan Timbalan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), akhirnya saya dapat mendaftarkan diri ke program master. Setelah mendaftar diri, saya tidak merempat lagi disebabkan oleh saya mendapat bilik di Kolej 9-10.

Seminggu Kuliah
Tempoh antara pendaftaran master dan waktu mula kuliah selama 11 hari. Semester ini menjadikan antara semester yang paling banyak jam kredit kerana saya mendaftar sebanyak 20 jam kredit. Bagaimana mahu hidup dengan jam kredit yang banyak? Sistem pembelajaran master sangat berbeza dengan sistem pembelajaran sewaktu degree dulu. Pembelajaran master sangat mementingkan mengeluarkan pendapat. Bagi saya, ia suatu cabaran kerana sebelum ini ilmu asyik disuap. Kelas kebanyakan diadakan pada waktu petang kerana kebanyakan daripada mahasiswa master dari Fakulti Pendidikan adalah dari golongan yang bekerja. Kami yang ‘muda-mudi’* antara golongan minoriti dalam kelas. Diharap saya dapat tunjuk ajar daripada abang-abang dan kakak-kakak tentang pengalaman hidup.

Golongan "muda-mudi" dalam kelas Kaedah Penyelidikan
(Kredit kepada Nurfatin Atiqah)

Sekian.

*Perkataan 'muda-muda' tidak sesuai. Sepatutnya guna perkataan fresh graduate walaupun belum grad lagi.

Isnin, 28 Januari 2013

Blog saya berhabuk

Assalamualaikum

Ini merupakan entri permulaan untuk blog ini pada tahun 2013.Sudah lama saya tidak menjenguk blog ini apatah lagi untuk mengemaskini blog ini. Banyak asam garam yang saya lalui semasa tahun 2012 yang sepatutnya saya coretkan dalam blog ini. Antara yang signifikan ialah Latihan Mengajar di Indonesia dan di Malaysia. Maaf, benda sudah lama berlalu, dan saya akan menceritakan pengalaman saya di Indonesia.

Blog saya sudah banyak habuknya dan perlu dikemas agar blog ini menjadi lebih kemas. Nampaknya saya perlu banyak menulis blog dengan laras bahasa yang betul serta menarik seperti karangan Bahasa Melayu yang mencapai kriteria cemerlang. Pada tahun ini, saya berazam saya akan menjadi lebih BERANI menceritakan pengalaman yang berlaku dari semasa ke semasa. Selain itu, saya juga mempelajari gaya penulisan agar tidak terlalu formal sehingga membosankan dan tidak terlalu fancy sehingga menjadikan pembaca menjadi meluat.

Setakat itu sahaja entri kali ini.