Ahad, 27 Februari 2011

Berkelah di Sungai Skudai

Assalamuailaikum

Kami ditugaskan untuk mengenalpasti kualiti air di Sungai Skudai. Tugasan ini berada dalam kursus Kimia Alam Sekitar. Tujuannya, setelah mempelajari semua parameter untuk mengukur kualiti sungai, kami mengaplikasikannya. Kumpulan kami terdiri daripada 5 orang.

Untuk pengetahuan semua, Sg Skudai merupakan sungai utama di daerah Johor Bahru. Sungai ini panjangnya kira-kira 40km bermula dari Sedenak merentasi Kelapa Sawit, Kulaijaya, Senai, Skudai, Taman Perling sehingga ke muara sungai berdekatan dengan Teluk Danga. Pembangunan di sekitar Johor Bahru semakin pesat menyebabkan Sg. Skudai menjadi semakin tercemar.


Peta Johor Bahru, Johor.

Kami diberi tugasan berkumpulan untuk mengambil sampel air sungai untuk dianalisis dalam makmal. Kumpulan kami boleh dibentuk dengan syarat 1Malaysia iaitu ahli kumpulan mestilah ada bangsa Melayu dan Cina. Kami diberi 2 stesen untuk mengambil sampel air. Stesen tersebut ialah stesen 2 yang terletak berdekatan dengan ESSO dan stesen 4 di Pengkalan Rinting, berhampiran dengan Plaza Angsana. Ada kumpulan lain mendapat stesen 1 di Public Utility Board (PUB) dan stesen 3 di Taman Perling.

Di stesen 2, kami bertungkus lumus mencari Sungai Skudai. Kami terpaksa bertanya lokasi yang sesuai untuk menghampiri Sungai Skudai. Di Sg Skudai, kami bertemu dengan penduduk Kampung Laut, Skudai. Sambil kami mengambil sampel air, kami berbual dengan penduduk di sana yang berbangsa India. Tema 1Malaysia tercapai dengan adanya kaum Melayu, Cina dan India. Di sana, kami mendengar permasalahan penduduk kampung apabila rumahnya selalu ditenggelami air. Puncanya pembangungan yang tidak terancang sekitar Sg Skudai. Sejurus kami mengambil sampel sungai, kami mengukur bacaan DO (dissolve oxygen, keterlarutan oxygen). Kami menambah asid sulfurik pekat dan meletak sampel dalam ais. Tujuan meletak dalam air sejuk supaya dapat merencatkan aktiviti bakteria, sekaligus mengurangkan penggunaan oksigen oleh bakteria dalam sampel air.


Sungai Skudai di belakang

Mengambil sampel air Sungai Skudai

Pengukuran oksigen terlarut


Selain itu, kami juga ke Pengkalan Rinting. Ia berdekatan dengan Plaza Angsana. Kalau ingin ke Pengkalan Rinting dari arah Skudai, pertama sekali ambil jalan ke Plaza Angsana, kemudian belok ke kanan. Di Pengkalan Rinting, sungainya lagi tercemar kerana segala kumbahan dari Sungai Skudai dan Sungai Melana bercampur sebelum sampai ke Teluk Danga.


Tekun mengambil data di tengah terik matahari

Setelah selesai mengambil sampel air, kami ditugaskan untuk menganilisis sampel air di dalam makmal. Kami menganilisis kandungan ammonia dalam sungai, berat keladak, BOD (biochemical oxygen demand), COD (chemical oxygen demand), dan pH.

Walaupun kami penat, kami berasa seronok melakukan kerja-kerja yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental. Kami juga terpaksa berendam lumpur semata-mata untuk mengambil sampel Sungai Skudai. Sebagai pesanan, jagalah kebersihan sungai kita, kerana sungai ini merupakan anugerah daripada Allah. Janganlah kita bersikap tamak sehingga boleh menggugat alam sekitar.

Teringat dalam pengajaran dalam Kimia Alam Sekitar pada awal semester ini, “segala-galanya mesti ke mana-mana”. Tiada istilah “bahan buangan” ataupun “sisa” dalam alam semulajadi ini dan tiada istilah “pergi jauh” kepada bahan yang kita buang. Sebagai contoh, kita membuat eksperimen, kita membuang bahan yang mengandungi logam berat ke dalam singki. Singki kemudian mengalir ke dalam parit dan kemudian mengalir ke dalam sungai. Tiba di sungai, bahan tersebut dibawa ke muara dan ke laut. Bahan itulah dimakan oleh plankton kemudian dimakan oleh ikan. Ikan pula kita makan dan bahan tersebut berada dalam badan kita.



Setakat itu sahaja.

(Gambar akan dimuat naik kemudian)

Jumaat, 4 Februari 2011

Hasil kerja saya sudah ditemui....

Assalamualaikum.

Alhamdulillah kerana hasil kerja saya sudah ditemui sekali gus terselamat daripada mangsa format PC lama saya. Marilah kita sama-sama menonton tayangan hasil kerja saya.




Video ini dikeluarkan pada tahun 2006. Antara software yang saya gunakan untuk menghasilkan video ini ialah:
  • Adobe Photoshop - Mengaplikasikan blend effect (tulisan nampak 3D)
  • SwishMax - Menghasilkan animasi
  • Macromedia Fireworks - Melukis pelan sekolah
  • Macromedia Flash - Menghasilkan animasi atas pelan sekolah
  • Sony Vegas - Menggabungkan beberapa media seperti gambar, suara dan animasi membentuk sebuah video.

Video ini mengisahkan sebuah robot fiksyen yang dicipta oleh saya untuk mengambil gambar pemandangan di sekeliling sekolah. Bahasa dalam video ini ialah bahasa Inggeris. Agak tunggang-langgang grammar kerana ketika itu saya masih belajar bahasa Inggeris dengan betul semasa saya tingkatan 4.

Saya sepatutnya memuat naik video 5 tahun lepas tetapi disebabkan ketika itu, saya agak buta YouTube. Video ini diterbitkan atas memenuhi masa lapang saya sambil mempelajari menyunting video pada ketika itu.


Peta sekolah dalam video

Sekian.

Khamis, 3 Februari 2011

Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka (KEMM 1511)

Setelah sekian lama saya tidak menulis blog ini, entri ini sepatutnya ditulis awal selepas konvensyen berlangsung. Tidak mengapa, yang penting saya dapat menulis entri.

KEMM 1511 berlangsung pada 29 Januari 2011 bertempat di Dewan Besar UTeM, Durian Tunggal, Melaka. Konvensyen ini diajurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA Malaysia) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) disertai oleh 3600 peserta. Konvensyen ini bertemakan "Melayu Sepakat, Islam Berdaulat". Perjalanan dari UTM Johor Bahru ke UTeM Melaka mengambil masa 3 jam pada jarak relatifnya, itupun kalau saya memandu selaju 90 km/j. Kami hanya menginap di Masjid UTeM bersama-sama rakan-rakan saya dan sukarelawan yang menguruskan KEMM 1511.

Konvensyen ini banyak membincangkan membincangkan mengenai jati diri masyarakat Melayu yang pada ketika dahulu, kita pernah mencapainya sehingga mendapat pengiktirafan dunia. Kita pernah mencapai zaman kegemilangan semasa zaman kegemilangan kerajaan Kesultanan Melayu Islam Melaka. Pada ketika itu, syariat Islam berjaya ditegakkan. Buktinya, Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka diambil 100% daripada al-Quran dan as-Sunnah. Para sarjana Barat pernah menyatakan "siapa menguasai Melaka, maka dia menguasai Venice". Kegemilangan Melaka tidak kekal bertahan lama akibat kerakusan kuasa Barat yang inginkan kekayaan. Rentetan daripada peristiwa kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka, ia menjadi cabaran kepada jati diri Masyarakat Melayu.

Alhamdulillah, jati diri Melayu Islam tidak digugat sehingga kita mendapat 2 nikmat terbesar iaitu nikmat Islam dan iman. Pada masa kini, pada zahirnya kita merdeka tetapi kita sudah dijajah minda selama 500 tahun lagi. Jati diri Melayu pada masa ini tergugat. Bangsa kita juara dalam menagih dadah, merempit, berzina dan buang bayi. Jika jati diri Melayu tergugat, kemungkinan Islam tidak dapat disebarkan.

Diharap konvensyen dapat menyedarkan kita betapa pentingnya kita memperkasakan Melayu supaya syariat dapat ditegakkan sebagaimana yang telah berlaku pada zaman kegemilangan Melaka.



Marilah sama-sama kita menghayati pidato yang disampaikan oleh saudara Badrul Sani. Semoga ia menyedarkan kita.



"Melayu Sepakat, Islam Berdaulat"

Isnin, 29 November 2010

Apabila Kertas Terakhir Selesai....

Assalamualaikum....

Alhamdulillah setelah habis peperiksaan akhir semester 3, saya meluangkan sedikit masa untuk menulis entri ini. Apabila peperiksaan tamat bererti bermulalah cuti semester bagi kami. Entri kali ini mencoret tentang perancangan pada cuti semester yang dikatakan terlalu singkat iaitu sebulan.

1. Mengkhatamkan buku Aku Terima Nikahnya....

Buku ini dikarang oleh Hasrizal Abdul Jamil atau nama samarannya ialah Abu Saif merupakan pemilik blog Saiful Islam. Buku ini membicarakan cara-cara bercinta mengikut Islam dan diredhai Allah. Dalam buku ini juga, beliau menceritakan coretan kehidupan beliau yang mengikuti syariah. Buku ini juga menekankan pentingnya bercinta selepas kahwin agar rumah tangga kekal bahagia sehingga ke akhir hayat. Nantikan saya akan mengepos entri bedah buku Aku Terima Nikahnya.

Selepas berkhatam buku ini, insya Allah saya akan membeli lagi buku Aku Terima Nikahnya 2: Bercinta Sampai ke Syurga.

Buku Aku Terima Nikahnya

2. Lawatan ke Beijing 7 hari 6 malam

Lawatan ini merupakan anjuran Fakulti Pendidikan melalui kerjasama Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA) melalui Global Outreach Programme (GOP). Objektif lawatan ini ialah melawat universiti yang terkenal di Beijing serta melihat suasana pembelajaran mereka. Saya tidak sabar merasai salji dan menghadapi musim sejuk.


Kota Larangan

3. Mempelajari Adobe After Effects

Bagi saya, perisian ini sangat sukar dan memerlukan daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi untuk menghasilkan montaj. Banyak interface (antara muka) yang perlu saya pelajari.

Setakat itu sahaja entri yang ringkas, Sekian.

Sabtu, 9 Oktober 2010

Tragedi Oktober

Assalamualaikum.

Kepada pembaca-pembaca setia blog saya, saya ingin memohon maaf kerana sudah 2 bulan tidak mengepos entri yang baru. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kesibukan yang dialami terutamanya sebelum raya dan selepas raya.

Saya ingin berkongsi mengenai pengalaman saya di buan Oktober ini. Sebagaimana kita tahu, mahasiswa UTM pada bulan ini sangat sibuk dengan tugasan (assignment), dan ujian (test). Bagi pelajar yang mengambil pendidikan macam kami, kami tidak banyak test tetapi banyak assignment yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Kalau ada test pun, hanya soalan objektif saja.

Pameran Sains (2 Oktober)
Pada bulan Ramadan lepas, saya dilantik sebagai Ketua Exco Teknikal dan Tempat bersama-sama Faqih. Sebelum pameran berlangsung, kami diminta supaya menempah Bilik Seminar Fakulti Pendidikan tetapi bilik itu sudah ditempah untuk program lain. Kemudian kami menempah bilik kuliah di Fakulti Sains yang sama seperti bilik seminar. Alhamdulillah, permohonan untuk mendapatkan bilik kuliah diluluskan.

Setelah mendapat tempat, kami diminta mencari barang keperluan untuk pameran tersebut. Kami terpaksa melayan kerenah birokrasi untuk mendapatkan barang. Alhamdulillah, segalanya sudah terlaksana walaupun letih berulang alik tiga kali dari Pejabat Harta Bina dengan Fakulti.

Apa yang kami tidak puas hati ialah, kami menjadi AJK dan juga menjadi peserta. Hal ini menambahkan kesibukan kami untuk menguruskan pameran sains.

Minggu Pendidik (13 - 16 Oktober)
Kami sebagai ahli Persatuan Mahasiswa Pendidik (PMP) mengadakan Minggu Pendidik. Minggu Pendidik merupakan salah satu program Fakulti Pendidikan di mana PMP perlu memikul tanggungjawab menguruskan program ini. Program ini merupakan program tahunan fakulti. Disebabkan program yang dikatakan grand, kami terpaksa memikul tanggungjawab yang sangat berat. Yang paling berat tanggungjawab dipikul ialah Pengarah Minggu Pendidik.

Segala kelemahan yang kita ada tidak perlu disandarkan kepada orang lain tetapi perlu disandarkan kepada diri sendiri. Lemah sistem komunikasi antara kami menyebabkan kami menghadapi pelbagai kekangan. Sepatutnya benda yang senang menjadi susah. Sepatutnya, kami perlu mengambil iktibar apa yang berlaku. Inilah ujian yang kami terpaksa hadapi agar kita dapat mengambil pengajaran. Walaupun dalam hati berasa macam beratnya tanggungjawab dipikul, tetapi saya yakin Allah tidak menguji kita di luar kemampuan.

Sebagai bakal seorang guru, memang wajar kalau mengadakan program dan perlu mendapatkan kemahiran insaniyah. Ilmu untuk membuat program tidak ada dalam kuliah kami. Kita tidak terlalu bergantung kepada test dan exam oriented semata-mata untuk berjaya. Pada masa hadapan, apabila seseorang sudah bergelar sebagai guru, jangan ingat tugas guru hanyalah mengajar sahaja. Guru banyak tanggungjawab lain selain mengajar seperti melakukan kerja-kerja pentadbiran.

Beza guru dengan jurutera ialah guru perlu mendidik jiwa manusia, tetapi jurutera berurusan dengan mesin.

Sekian, terima kasih.

Ahad, 25 Julai 2010

Jom Kita Berhibur: Langkah Tercipta

Hobi saya ialah mendengar lagu. Lagu yang selalu dengar ialah lagu Korea dan Jepun serta nasyid. Saya tidak berapa layan lagu Melayu dan Inggeris kerana kebanyakan lagu yang saya dengar berkaitan dengan cinta kepada manusia yang tidak kekal lama. Walau bagaimanapun, lagu Melayu dan Inggeris tidak semestinya ada lagu cinta sahaja, tetapi ada juga lagu yang memberi mesej dan pengajaran yang baik. Tetapi pelik, kenapa saya masih layan lagu Korea dengan Jepun walaupun saya tidak faham? Walaupun saya masih layan lagu Korea dan Jepun, minat saya terhadap lagu tersebut semakin pudar kerana lebih cenderung kepada nasyid.

Saya ingin berkongsi sebuah lagu nasyid. Lagu nasyid ini dinyayikan oleh UNIC pada tahun 2009. Jom kita layan.



Lirik:

Semalam aku kelukaan,
Kecewa kehampaan,
Mencalar ketabahan,
Impian seringku harapkan menjadi kenyataan
Namun tak kesampaian,

Allah…
Inginku hentikan langkah ini
Bagaikan tak mampu untuk ku bertahan
Semangat tenggelam lemah daya,
Haruskah aku mengelamun jiwa
Ku berbisik inilah dugaan

Dan langkahku kini terbuka
Pada hikmah dugaan uji keimanan
tak dilontarkannya ujian diluar kekuatan setiap diri insan

Allah…
Pimpini diriku,
Untuk bangkit semula meneruskan langkah perjuangan ini
Cekalkan hati dan semangatku
Kurniakan ketabahan........
Agar mimpi jadi nyata..
padaMu ku meminta

Dan ku mohon agung kudratMu
Wahai Tuhan Yang Satu
Segalanya dariMu.


Dalam banyak-banyak lagu, hanya lagu nasyid dapat menusuk kalbu. Hal ini demikian kerana, lagu nasyid sangat bersesuaian dalam kehidupan saya. Lagu UNIC - Langkah Tercipta merupakan lagu untuk memberi semangat untuk meneruskan perjuangan.

Rangkap 1:
Pada semester 2 yang lepas, saya semakin sedih kerana keputusan peperiksaan yang saya dapat semakin jatuh. Impian saya ialah untuk mendapat dekan kali ke-2 tetapi tidak tercapai.

Rangkap 2:
Disebabkan keputusan yang 'teruk', saya semakin berputus asa untuk berusaha untuk mengekalkan pointer sehinggakan saya tidak mahu meneruskan untuk belajar dalam kursus pendidikan atau dengan kata mudah, menukar kursus. Walau bagaimanapun, saya terus bermuhasabah dan menganggap ini sebagai ujian Allah.

Rangkap 3:
Hidup ini perlu diteruskan. Setiap ujian pasti ada hikmahnya. Mana tahu jika semester 3 semakin naik. Biasanya, setiap kali peperiksaan, tren selalunya ibarat macam graf sin-kos, sekejap naik, sekejap turun. Allah tidak menguji kita melebihi kemampuan manusia. Hal ini dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah (surah yang ke-2): ayat 286 (ayat terakhir dalam surah al-Baqarah).

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir".


Rangkap 4:
Saya berdoa agar Allah memberi semangat kepada saya agar meneruskan perjuangan ini. Setiap usaha mesti ada kejayaannya tetapi mesti diiringi dengan doa. Kalau tidak berjaya juga, itu rezeki yang Allah bagi. Allah akan memberi yang terbaik untuk kita walaupun di jalan kita lalui, jalan yang kita tidak sukai.

Lagu ini bukan sahaja untuk menaikkan semangat untuk mengekalkan pointer, malah memberi semangat untuk menulis blog yang tidak seberapa. Setakat itu sahaja.

Rabu, 14 Julai 2010

Perjalanan Pertama

Assalamualaikum

Cuti semester saya agak lama iaitu 3 bulan. Pada masa cuti, saya hanya berjalan dalam kawasan jajahan Kota Bharu. Biasanya pergi Pasar Borong Wakaf Che Yeh dan Mydin Mall di Kubang Kerian. Hanya 2 kali sahaja dapat menjejaki Jajahan Bachok. Di Kota Bharu, kami dilatih memandu sampai mahir. Cabaran di Kota Bharu tidaklah sesukar mana seperti di Johor Bahru kerana bandar Kota Bharu terletak di kawasan tanah yang rata serta tidak berbukit. Selain itu, jejambat di Kota Bharu masih dalam pembinaan.

Saya bertolak dari Peringat dalam pukul 7.30. Kemudian mengambil rakan saya di Bachok untuk menemani saya ke Johor. Kami mengikuti jalan pantai kerana jaraknya lebih dekat berbanding melalui jalan persekutuan 3.

Setibanya di Kuala Terengganu, pemanduan saya agak teruk di Kuala Terengganu kerana terlalu janggal. Arahan jalan raya berbeza dengan Kota Bharu. Kemudian saya singgah selama 30 minit di Merchang, Marang untuk menemui abang sulong saya. Mengikut perancangan saya, saya sepatutnya mengikut Jalan al-Mutakhafi Billal Shah. Atas nasihat abang saya, saya mengikut jalan pantai.

Di jalan pantai, saya terpaksa melalui bandar Dungun dan Chukai. Apa yang menyebabkan tidak puas hati ialah lampu isyarat terlalu banyak. Di bandar Dungun sahaja pun sudah ada 9 lampu isyarat terpaksa dilalui. Lebih-lebih lagi di simpang tiga, sepatutnya lorong yang memasuki jalan sebelah kanan diberhentikan. sebaliknya ketiga-tiga lorong kena berhenti. Ada juga lampu isyarat yang memasuki sekolah sahaja dipasang. Walaupun agak menyusahkan bagi saya, mungkin pihak berkuasa tempatan sangat menitik beratkan soal keselamatan. Walau bagaimanapun, jalan pantai banyak mempunyai jalan 4 lorong.

Kami melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Apa yang menarik, lebuhraya ini tidaklah sesibuk seperti Lebuhraya Utara-Selatan. Kami memasuki LPT melalui tol Jabor kemudian keluar melalui tol Gambang. Di LPT, kami singgah untuk menunaikan solat zohor dan asar.

Selepas melalui LPT, saya melalui Jalan Tun Razak iaitu jalan menghubungkan Gambang dengan Segamat. Bahu jalannya amat sempit dan banyak lori lalu-lalang di jalan ini. Alhamdulillah, sedikit sahaja treler dan lori balak melalui jalan ini. Cuma tiada lori kelapa sawit. Sebelum ini, kita dikejutkan 2 kemalangan maut yang berlaku di jalan ini sepanjang saya bercuti. Hal ini menyebabkan saya semakin tidak yakin memandu. Dengan doa mampu menjadikan perjalanan kita selamat. Bukan doa sahaja, tetapi kita perlu mematuhi had laju yang ditetapkan. Had laju bukanlah dijadikan sebagai perhiasan semata-mata tetapi untuk menjadikan perjalanan kita selamat.

Kami semakin gembira kerana sudah melepasi sempadan Pahang-Johor. Kami melalui Segamat. Di Segamat, terlalu banyak lampu isyarat. Tambah-tambah lagi, kami berada di Segamat semasa waktu puncak menyebabkan lalu lintas semakin sibuk. Setibanya di Yong Peng, kami memasuki Lebuhraya Utara-Selatan melalui tol Yong Peng (Selatan). Kereta yang melalui lebuhraya sangat laju. Walaupun saya memandu 110 km/j, kami sentiasa dipotong. walau bagaimanapun, saya tidak berhajat memandu melebihi 110 km/j kerana kawalan kenderaan semakin susah.

Kemudian, kami singgah di Machap. Di Machap, kami dapat solat maghrib dan isyak. Kemudian, kami makan malam disebabkan kelaparan. Kemudian, kami meneruskan perjalanan hinggalah ke Skudai. Alhamdulillah, kami selamat sampai di UTM. Kami lepak di bilik kawan saya disebabkan kami belum mengambil kunci bilik.



Jarak: 683.7 km