Tanggal 18hb Februari 2012, kami diterbangkan ke Semarang, Indonesia. Perjalanan mengambil masa 2 jam. Jika di Malaysia, waktu digunakan ialah GMT +8 manakala di Indonesia Barat menggunakan GMT +7 (lebih dikenali sebagai Waktu Indonesia Barat, WIB).
Setibanya di Semarang, kami disambut oleh pihak Institut Keguruan dan Ilmu Pendidikan (IKIP) Semarang. Walaupun kami disambut dengan sangat istimewa, tetapi kami agak berpakaian selekeh kerana tiada kesempatan untuk mempersiapkan diri sepanjang perjalanan dari Johor ke LCCT KLIA, seterusnya ke Semarang.
Di Semarang, taklimat diadakan di Kampus II IKIP PGRI Semarang. Upacara penyerahan guru pelatih dijalankan di Semarang. Setelah taklimat dijalankan, kami pusing-pusing ke Semarang melihat bandar Semarang. Kami bergambar di Tugu Pemuda. Setelah ke Tugu Pemuda, kami singgah solat Maghrib dan Isyak di Masjid Agung Jawa Tengah.
Masjid Agung Jawa Tengah
Keesokan hari (19hb Februari), kami berangkat ke Jogjakarta. Dalam perjalanan ke Kota Jogjakarta, kami singgah di Candi Borobudur. Candi Borobudur merupakan monumen yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Candi ini dibina pada abad ke-9.
Setibanya di Jogjakarta, kami disambut oleh pihak Universitas Negeri Yogyakarta (UNY). Pada 20hb, diadakan taklimat di Reaktorat UNY. Dalam taklimat tersebut, kami ditempatkan di Sekolah Menengah Atas Negeri 8 Yogyakarta (SMA Negeri 8 Yogyakarta). SMA Negeri 8 merupakan sebuah sekolah yang bertaraf internasional.
Guru Pelatih di SMA 8 Yogyakarta
Pada 23 Februari, SMA Negeri 8 menganjurkan Praktek Kerja Lapangan di Pantai Sundak. Tujuannya adalah untuk mempraktiskan kimia, fizik dan biologi di luar sekolah. Kami mengikuti dengan menaiki Bas Pariwisata (Bas Persiaran). Perjalanannya dalam 60 km dan mengambil masa selama 2 jam. Di Pantai Sundak, permandangan sungguh indah kerana lautnya sungguh jernih. Pantainya menghadap Samudra Hindia. Walaupun pantainya indah, kami ditegah bermandi-manda kerana gelombangnya agak ganas.
Latihan Mengajar (LM) merupakan salah satu subjek yang wajib diambil oleh bakal guru. LM dijadikan sebagai batu lonjatan untuk mendapat keyakinan untuk mengajar di sekolah nanti. Untuk menjalani LM, mahasiswa UTM hanya mengajar di sekolah di Johor sahaja. Walau bagaimanapun, negeri lain boleh dipilih sebagai lokasi untuk mengajar tetapi dengan mengemukakan pelbagai kes.
LM kali ini agak berlainan pada LM yang lepas-lepas kerana dijalankan di semester 2 disebabkan oleh perubahan seisi pembelajaran. Disebabkan oleh UTM terkenal di peringkat antarabangsa, maka LM di Indonesia diadakan. Pada awalnya, pihak pengurusan LM membuka 3 tempat di Indonesia iaitu di Semarang, Yogyakarta dan Makassar. Kemudian, ia dikurangkan menjadi 2 tempat iaitu di Yogyakarta dan Semarang sahaja.
Menyertai LM ke Indonesia dapat menambahkan pengalaman mengajar di sana di samping dapat mengetahui sistem pendidikan di sana yang berbeza dengan di Malaysia. Inilah rezeki untuk ke luar negara saya yang tidak pernah terfikir sebelum ini. Sebelum ini, saya pernah ke Singapura dan Beijing, China.
Lokasi Semarang dan Yogyakarta di Jawa (Sila klik utk besarkan gambar)
Hati saya agak berdebar kerana persediaan ke Indonesia masih dalam keadaan yang tidak sempurna. Pada 16hb Februari, taklimat mengenai LM ke Indonesia akan diadakan. Insya Allah saya akan berangkat ke Indonesia pada 18hb Februari ini. Doakan saya selamat tiba di sana.
Diharap perkara yang tidak diingini dapat dielakkan di sana nanti. Saya akan mengemaskini blog di sana jika tiada aral yang melintang.
Ini merupakan entri pertama pada tahun 2012 setelah sekian lama saya tidak mengemaskini blog saya. Topik yang saya bawakan merupakan muqadimah blog saya pada tahun 2012. Entri kali ini saya akan membuat pembedahan buku yang bertajuk Armageddon 2012, yang ditulis oleh Muhammad Alexander dan diterbitkan oleh PTS. Buku ini sangat menarik untuk dibaca.
Pada tahun 2009, dunia disajikan dengan filem Hollywood yang telah menghantui minda penduduk dunia. Bahkan filem ini dapat menggugat akidah umat Islam dengan tarikh kiamat pada yang jatuh pada 21 Disember 2012. Walau bagaimanapun, sebagai orang Islam, kita tidak boleh mempercayai tarikh kiamat kerana ia adalah perkara ghaib. Hanya Allah sahaja yang tahu mengenai tarikh kiamat. Banyak ramalan-ramalan tarikh kiamat telah dibuat sebelum ini tapi ia tidak pernah berlaku. Malah ia dijadikan bahan jenaka kerana mencari tarikh kiamat adalah mengarut dan khurafat. Walau bagaimanapun, janji Allah akan pasti berlaku.
Buku ini menjelaskan kronologi-kronologi tanda-tanda besar kiamat sehingga terjadi tertiupnya sangkakala yang ke-2. Buku ini juga menerangkan tanda-tanda besar kiamat dan hari terjadi kiamat dari sudut pandang agama dan sains kerana sains dan agama tidak boleh dipisahkan. Walau bagaimanapun, sains tidak dapat menerangkan kiamat selepas sangkakala yang ke-2 kerana ia berada peristiwa itu hanya berlaku di alam ghaib.
Buku ini juga menceritakan nasib makhluk apabila berada di padang mahsyar dan menerima balasan syurga dan neraka nanti. Buku ini dapat meningkatkan keimanan pembaca apabila menceritakan bahagian di akhirat.
Terdapat buku lain yang menceritakan tentang 2012. Ada yang menerangkan konspirasi pihak yahudi untuk membentuk world order suatu hari nanti.
Maka solusi penting dalam isu ini ialah:
Keimanan kepada kedatangan hari kiamat adalah fardu, dan termasuk dalam rukun iman
Tidak perlu bersusah payah mencari tarikh kiamat.
Apa yang penting, amalan soleh setiap insan bertambag.
Sudah lama saya tidak mengemaskini blog. Tidak terlambat saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan al-Mubarak. Di bulan ini, rebutlah peluang yang Allah bagi yang disediakan untuk hamba-hamba-Nya seperti beribadah. Dalam sibuk-sibuk beribadah, saya mencuba resepi ini untuk juadah berbuka puasa.
Resipi ini pada asalnya dibuat menggunakan kambing. Untuk maklumat lanjut, sila ke laman web http://www.cookeatblog.com/2008/05/06/xinjiang-lamb-skewers/. Saya pernah rasa makanan di Beijing, China semasa saya mengikuti rombongan ke sana. Makanan ini merupakan makanan yang paling istimewa sepanjang lawatan. Selepas pulang ke tanah air, saya masih mengidam makanan ini. Setelah sekian lama, akhirnya saya sudah tau nama sebenar makanan lantas saya terus mencari resepi di internet. Namanya Xinjiang Lamb Skewers.
Xinjiang Lamb Skewer
Makanan ini berasal dari wilayah Xinjiang yang terletak di Barat Laut China. Pusat pentadbiran dan bandar terbesar Xinjiang ialah Urumqi. Majoriti etnik yang menetap di Xinjiang ialah etnik Uighur dan majoriti beragama Islam. Disebabkan Xinjiang bersempadan dengan negara Asia Selatan (India, Pakistan) dan Asia Tengah (Kazakhstan), makanan China ini dipengaruhi oleh rempah ratus.
Wilayah Xinjiang
Walau bagaimanapun, disebabkan kesukaran mendapatkan bahan, saya terpaksa membuat modifikasi terhadap resepi di laman web tersebut. Antara bahan-bahan yang saya gunakan seperti berikut: Bahan utama:
2 ketul daging
minyak masak
Campuran Rempah:
2 sudu jintan putih
1 sudu cili kisar
1 sudu serbuk cili
1 sudu serbuk halia
4 bahagian bawang putih
2 sudu garam
Prosedur:
campurkan kesemuan rempah ratus di dalam mangkuk
tambahkan minyak masak ke dalam mangkuk
kemudian perapkan daging selama 4 jam. Caranya sama seperti BBQ.
kemudian bakar.
Rempah beratus-ratus sen
jangan lupa bawang putih
daging diperap dalam 4 jam
Kita bakor je! kita bakor
mashta
Akhirnya daging yang saya hasilkan sebijik macam di Beijing. Walau bagaimanapun, daging panggang yang saya buat terasa amat pedas kerana terlebih rempah. Di dalam resepi cadangkan 700g sedangkan saya punya resepi daging hanya kira-kira 400g.
Suatu hari nanti, saya akan membuat modifikasi lagi terhadap resepi agar bertambah sedap lagi.
Apa itu teknologi? Kita banyak berbincang mengenai satu definisi teknologi kerana istilah teknologi mempunyai konsep yang sangat luas. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), teknologi bermaksud aktiviti atau kajian yg menggunakan pengetahuan sains untuk tujuan praktis dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan, dan sebagainya. Apabila kita bercakap mengenai teknologi, kita selalu memikirkan tentang rekaan yang dapat memberi manfaat kepada manusia.
Sekarang fokus entri kali ini mengenai satu evolusi teknologi. Setiap peralatan akan mengalami evolusi teknologi dari sesuatu yang kurang canggih kepada yang lebih canggih. Kita tengok satu-satu peralatan yang mengalami perkembangan teknologi.
Telefon
Sejarah pencipta pertama telefon masih menjadi kekaburan kerana ramai terdapat banyak bentuk ciptaan telefon dan fungsinya. Antara pencipta yang terkenal telefon ialah Alexander Graham Bell. Beliau merupakan orang pertama memindahkan suaranya melalui telefon.
Telefon dail putar. Sekarang masih ada orang guna lagi tak?
Telefon kat rumah
Sejarah telefon semakin berkembang dari kurang canggih kepada yang canggih. Kalau zaman P. Ramlee, telefon yang digunakan ialah telefon dail putar. Telefon ini agak leceh terutamanya nombor yang terakhir. Jika berlaku kecemasan, masa untuk mendail 999 agak lama. Sebab itulah sekarang, orang memakai telefon berbutang.
Beralih kepada telefon tanpa wayar. Sebelum ini, saiz telefon bimbit menyamai saiz kepada beg laptop. Apabila ingin membuat panggilan, antena terpaksa ditinggikan untuk mendapatkan signal. Sekarang telefon bimbit tidak wujud lagi dan digantikan dengan telefon genggam. Walau bagaimanapun, telefon genggam masih dipanggil sebagai telefon bimbit.
Nokia 3310:ada jumpa sekarang tak di pasaran? Teringat ada seorang pelanggan ingin membeli Nokia 3310 tetapi orang kedai berkata, "baik kau balik zaman Mahathir."
Pelbagai jenis telefon genggam yang terdapat di pasaran dari monochrome (tidak ada warna) sehingga telefon berwarna, dari deringan monofonik, polifonik kepada trutones. Pelbagai fungsi terdapat pada telefon genggam seperti radio, buku telefon, pemain mp3, kamera, lampu suluh dan sebagainya.
Televisyen
Kemajuan dari segi sains dan teknologi menyebabkan salah satu ciptaan tercipta iaitu televisyen. Menjelang akhir 1920-an, teknologi optik dan elektronik pada sistem televisyen ini sahaja sudah menjadi asas kepada sistem televisyen pada masa kini.
Pada era 60'an dan 70'an, televisyen yang ada di Malaysia menyiarkan gambar hitam dan putih. Sehingga pada tahun 1978, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkenalkan siaran bewarna. Sejak era 80'an, televisyen berwarna semakin popular sehingga saya tidak dapat menikmati televisyen hitam putih. Bak kata Saiful Apek (lupa tahun) dalam Gitu-gitu di Era mengatakan untung lahir zaman 70'an, dia dapat merasai TV hitam putih.
Televisyen hitam putih. Sekarang ada lagi tak di pasaran?
Sekarang terdapat jenis TV dalam format standard definition (SD) dan high definition (HD). TV yang kita gunakan sekarang ialah TV SD. Walau bagaimanapun, TV HD sudah digunakan apabila anda melanggan Astro Beyond. Jika menonton bola sepak, memang puas hati seolah-olah kita berada di stadium. Bulu roma pemain dapat kita lihat dengan jelas.
SD TV masih digunakan sekarang
HD TV, skrin lebar
Komputer Peribadi dan Laptop
Sejarah penciptaan komputer peribadi bermula pada tahun 1970'an. Selepas perkembangan mikroprocessor (seperti Intel dan AMD), harga komputer semakin murah dan semakin popular disebabkan ramai yang mampu memiliki komputer. Pada masa kini, ramai mahasiswa yang memilikinya sehingga sukar mencari mahasiswa yang tidak memiliki komputer. Pelbagai fungsi yang ada pada komputer seperti word processor, kalkulator, pemain mp3 dan sebagainya. Pelbagai gajet-gajet yang dicipta supaya sepadan dengan keperluan sistem komputer.
Komputer dengan OS Windows 3.0 (1992). Pernah nampak sekarang?
Laptop lama berserta dengan Windows 98.Ada nampak sekarang?
laptop saya jenama Compaq Presario
Jika dulu kita pakai cekera liut (disket), sekarang kita pakai cekera padat (CD) dan DVD untuk menghantar data dari satu komputer ke komputer yang lain. Tidak ketinggalan juga, sekarang terdapat blue-ray tetapi masih belum digunakan secara meluas buat masa sekarang.
Teori Darwin
Teori Darwin menyatakan setiap organisma akan mengalami evolusi. Evolusi ialah teori sains yang dikemukakan oleh ahli biologi untuk menerangkan perubahan rupa dan sifat haiwan dan tumbuhan sepanjang zaman sehingga kini (Mayr, 2001). Teori ini sudah menjadi kontrovesi dalam sains . Selain itu, teori ini tidak dapat diterima sama sekali oleh agama.
Banyak kajian secara saintifik mengenai Teori Darwin namun ia menemui kegagalan. Walau bagaimanapun, ramai orientalis Barat mengiyakan teori ini demi semangat perkauman yang sempit. Orang kulit putih mengaku bahawa berevolusi lebih jauh berbanding dengan orang kulit hitam. Hal ini menyebabkan orang kulit hitam ditindas dan dilayan seperti haiwan.
Evolusi manusia
Penipuan demi penipuan dilakukan agar manusia percaya kepada teori ini. Antara penipuan yang dilakukan ialah memperkenalkan zaman pra-sejarah seperti dari zaman paleolitik sehingga ke zaman logam. Mereka juga menafikan kewujudan Tuhan serta menafikan Adam manusia pertama yang dicipta oleh Allah. Nabi Adam A.S. sendiri sudah berkomunikasi dan mengenal objek. Pada zaman itu juga, terdapat juga aktiviti cucuk tanam dan penternakan. Dari Nabi Adam sehingga Nabi Idris yang jaraknya enam keturunan, sudah pandai menjahit, menunggang kuda, menulis serta mengira.
Individu Muslim tidak boleh sama sekali menerima pakai teori evolusi mengenai kejadian manusia kerana dalam al-Quran menjelaskan keturunan manusia berasal daripada Adam. Kandungan al-Quran tidak harus diragui. Mempercayai kepada al-Quran (percaya kepada kitab) adalah termasuk Rukun Iman.
Untuk mematahkan hujah Teori Darwin mengikut logik menggunakan kaedah analogi, jika kita mengatakan wujud teori evolusi, tidak mungkin wujudnya monyet pada zaman ini. Tetapi mengapa monyet wujud sehingga sekarang? Mana perginya homo sapien bersifat separuh monyet dan separuh manusia? Seperti peralatan komputer, adakah masih ada lagi komputer zaman 80'an pada zaman ini? Banyak persoalan yang disampaikan dan antaranya dalam font merah di atas.
Marilah sama-sama kita tonton video bertajuk Dunia Akhir Zaman. Harap-harap menjadi renungan kita bersama.
Kini berbaki 3 bulan lagi untuk menghadapi semester seterusnya. Diharap cuti yang lama saya dapat mengisi masa cuti ini dengan perkara yang berfaedah.
Saya menghabiskan masa dengan menonton YouTube. Tujuannya bukan untuk berhibur sahaja tetapi untuk mencari ilham untuk menghasilkan video. Saya dengki melihat hasil kerja kawan saya yang gempak dan menarik hati. Disebabkan saya iri hati melihat kawan saya, saya terus mempelajari Adobe After Effects. Jikalau dengki, biarlah pada tempatnya.
Teringat satu hadis: Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan hartanya itu kejalan yang benar (yang diredhai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (Al-Quran dan Hadis) serta diajarkannya pula kepada orang lain". (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Dalam hadis ini, kita dilarang iri hati kecuali dua perkara iaitu:
iri hati terhadap orang yang berilmu, beramal dengan ilmu kemudian mengajar kepada orang lain
orang yang dikurniakan harta kemudian digunakan dalam jalan Allah.
Apabila sudah iri hati, janganlah menjahanamkan orang itu, sebaliknya kita perlu sama-sama bersaing. Jika sudah bersaing, perlulah ada sikap lengkap-melengkapi antara satu sama lain.
Sebenarnya, apa yang saya ingin ceritakan ialah mengenai Adobe After Effects.
Apa itu Adobe After Effects? Adobe After Effects adalah perisian untuk mencipta gerakan grafik dan kesan visual. Ia boleh menganimasikan dalam bentuk 2D dan 3D. Ia berbeza dengan Flash dan SwishMax, hanya 2D sahaja boleh dianimasikan.
Adobe After Effects Klik di gambar untuk melihat gambar lebih besar
Pada mulanya, agak sukar belajar Adobe After Effects. Hal ini demikian kerana, terlalu banyak antara muka (interface) yang perlu ingat dalam perisian ini. Selain itu, ia memerlukan imaginasi yang kuat untuk menghasilkan produk. Berbeza dengan Flash dan Swish hanya wujud paksi x dan y tetapi After Effects wujud paksi x, y, dan z untuk membentuk produk dalam 3D.
Saya membuat video sambil mempelajari tutorial. Tutorial dalam YouTube, kita boleh tahu proses untuk membuat satu pergerakan sama ada pergerakan grafik ataupun pergerakan kamera. Proses membuat video pada awalnya mengambil masa sehari sambil berpandukan tutorial. Sekarang, alhamdulillah, saya berjaya membuat sesuatu video tanpa berpandukan tutorial dan lebih cepat daripada sebelumnya.
Diharap dengan pengetahuan saya dalam After Effects ini, saya dapat menghasilkan video yang lebih gempak daripada sebelumnya. Sekian.
Jom layan Montaj Seminar Model Pengajaran Berkesan (bukan diterbit melalui After Effects tetapi Sony Vegas). Diharap anda semua terhibur.
Mungkin pembaca tengah tertunggu-tunggu entri yang sudah berapa lama tidak dipost. Bukan apa, susah nak cari idea bagaimana menulis entri. Sebenarnya saya ingin menulis entri berbentuk ilmiah seperti macam penulis buku, pendakwah, ahli akademik, atau ulama. Apa kan daya, pemikiran saya tidak setinggi mereka.
Walau bagaimanapun, saya sedaya upaya menyediakan entri yang berbentuk ilmiah. Saya baru menonton Kung Fu Panda untuk kali ke-3. Terdapat kata-kata hikmah yang menarik dalam Kung Fu Panda. Antaranya:
"Yesterday is history, tomorrow is a mystery, and today is a gift, that's why it is called the Present." - Jangan biarkan diri kita dihalangi oleh kegagalan masa lalu dan ketakutan masa depan. Marilah kita bersyukur kerana sampai sekarang kita dipanjangkan umur kerana Allah memberi peluang untuk berjuang di masa sekarang ini.
"There is no price for Awesomeness or Attractiveness."
" There are no accidents. Everything happens for a reason." - Tiada kebetulan dalam hidup ini. Apa yang terjadi pasti ada hikmahnya. Allah telah mengatur segala-galanya sesuai dengan ayat ini:"Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya , dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata ” (al-an’aam, 6:59)